TANJAK MELAYU
Tanjak, tengkolok atau destar merupakan busana yang dipakai pada bahagian kepala lelaki Melayu. Tanjak ini sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai majlis adat istiadat Melayu. Pada kebiasaanya tanjak akan dipadankan dengan bengkung, sampin dan baju Melayu beserta sebilah keris yang diselit bagi pakaian lelaki Melayu. Tengkolok merupakan salah satu hiasan kepala lelaki Melayu yang indah dan unik rekaannya. Tengkolok menjadi lambang identiti lelaki Melayu sejak zaman dahulu lagi. Tengkolok terhasil daripada sehelai kain berbentuk segitiga dengan pelbagai teknik dan reka bentuknya. Setiap negeri di tanah Melayu memiliki reka bentuk tengkolok yang berbeza walaupun mempunyai nama yang sama.
“Seni rupa Melayu ialah kenyataan tampak sesuatu kebudayaan yang tertentu, sebagai kain dewangga yang merintangi masa. Konsep seni rupa Melayu adalah seni rupa dengan konsep muzium tidak bertebuk. Seni rupa Melayu ialah penjelmaan bahan-bahan dari alam semulajadi pada satu bentuk yang merupakan jiwa pencipta. Hasil-hasil seni rupa itu yang diwujudkan dari alam sekitar penglihatan dan fikiran, adalah ciptaan jiwa yang dijelmakan melalui impian yang mencerminkan keadaan harmoni diantara manusia dan alam semulajadi.” (Syed Ahmad, 1979)
Teromba Destar:
Sekali Bernama Destar
Duanya Bernama Tanjak
Tiganya Bernama Tengkolok
Nan Di Hujung Kepala
Nan Dipakai Berpaut-Pautan
Nan Beradat Berlembaga
Nan Beradat Berketurunan
Nan Dijaga Dipelihara
Nan Bertempat Dan Bertempatan
Nan Ada Asal Usulnya