Pengkomersialan
Pengkomersialan merupakan aktiviti penjanaan pendapatan melalui idea yang dihasilkan dalam bentuk produk, perkhidmatan, proses, teknologi dan sistem organisasi yang dipasarkan dengan kaedah penjualan, pelesenan, penyerahan hak, pengembangan (spin-off), pengilangan, usaha sama atau francais
Perlindungan Harta Intelek
Perlindungan Harta Intelek bermaksud apa-apa karya, ciptaan, rekaan, varieti baharu tumbuhan, maklumat sulit termasuk rahsia perdagangan yang layak untuk mendapat perlindungan di bawah mana-mana undang-undang harta intelek khususnya undang-undang hak cipta, paten, reka bentuk perindustrian, cap dagangan, petunjuk geografi, reka bentuk susun atur litar bersepadu, varieti baharu tumbuhan dan Common Law.
Tujuan
Membolehkan pemilik harta intelek melaksanakan kawalan eksklusif terhadap sebarang eksploitasi hak pemilikan tersebut
Memberi penekanan kepada aspek-aspek permohonan perlindungan, penentuan hak milik dan kepentingan-kepentingan lain serta penguatkuasaan hak dan kepentingan terhadap harta intelek yang telah dihasilkan
Memberi penghargaan dan pengiktirafan atas sumbangan penjawat awam yang telah berjaya menghasilkan atau memberikan sumbangan dalam penghasilan karya, ciptaan, rekaan dan harta intelek lain yang memberi impak tinggi kepada penyampaian perkhidmatan Kerajaan
Kriteria Utama Perlindungan Harta Intelek
Paten (patern)
Paten ialah hak eksklusif yang dianugerahkan di bawah Akta Paten 1983 dan Peraturan-Peraturan Paten 1986 untuk suatu reka cipta baharu sama ada ia ialah satu produk atau satu proses
Paten akan dianugerahkan apabila menepati ciri-ciri yang berikut:
Baharu (Novelty)
Melibatkan langkah mereka cipta
Boleh digunakan dalam mana-mana industri
Hak Cipta (copy right)
Hak Cipta ialah hak eksklusif yang diberi oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal karya mereka dan perlindungan ini adalah berasaskan Akta Hak Cipta 1987
Agensi Kerajaan perlu melindungi hak dan kepentingannya dengan meletakkan simbol © pada semua karya miliknya
Reka Bentuk Perindustrian
Reka Bentuk Perindustrian ialah perlindungan hak harta intelek di bawah Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 atau mana-mana undang-undang lain yang seumpamanya di dalam atau luar Malaysia
Perlindungan boleh dimohon jika rekaan itu adalah baharu, menarik dan belum pernah didedahkan kepada umum
Cap Dagangan (trade mark)
Perlindungan hak harta intelek di bawah Akta Cap Dagangan 1976 atau mana-mana undang-undang lain yang seumpamanya di dalam atau luar Malaysia
Perlindungan boleh dimohon jika cap dagangan itu (sama ada dalam bentuk jenama, label, nama, tandatangan, perkataan, nombor atau apa-apa tanda niaga lain) boleh dibezakan daripada cap dagangan yang lain
Petunjuk Geografi
Perlindungan hak harta intelek di bawah Akta Petunjuk Geografi 2000 (Akta 602) atau mana-mana undang-undang lain yang seumpamanya di dalam atau luar Malaysia boleh dimohon jika kualiti, reputasi atau ciri-ciri lain sesuatu barang adalah dianggap berpunca dari tempat asal geografinya
Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu
Perlindungan hak harta intelek di bawah Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000 atau mana-mana undang-undang lain yang seumpamanya di dalam atau luar Malaysia boleh dimohon jika reka bentuk susun atur litar bersepadu itu ialah rekaan yang asli
Varieti Baharu Tumbuhan
Perlindungan hak harta intelek di bawah Akta Varieti Baru Tumbuhan 2004 atau mana-mana undang-undang lain yang seumpamanya di dalam atau luar Malaysia boleh dimohon jika tumbuhan itu ialah tumbuhan yang baka biaknya adalah baharu, berbeza daripada yang lain, seragam dan stabil
Maklumat Sulit (termasuk rahsia dagangan)
Maklumat Sulit Termasuk Rahsia Perdagangan adalah dilindungi di bawah Common Law dan dikuatkuasakan oleh agensi Kerajaan
Perlindungan hak harta intelek boleh juga dibuat bagi harta intelek yang tidak mempunyai nilai komersial dan/atau potensi pasaran
Pemilik juga boleh menentukan negara dan/ atau wilayah di mana perlindungan hendak dimohon
Replikasi
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, replikasi didefinisikan sebagai proses menghasilkan salinan yang sama. Dalam konteks KIK, replikasi adalah satu kaedah yang membolehkan agensi mengguna atau mengadaptasi projek-projek KIK yang memberi manfaat mengikut kesesuaian dan keperluan agensi masing-masing.
Syarat Replikasi
Bagi tujuan replikasi, pemilik projek KIK hendaklah bersetuju dengan syarat-syarat seperti yang berikut:
Tidak membuat sebarang permohonan untuk mengkomersialkan projek
Mendapatkan Perlindungan Harta Intelek bagi projek yang telah melepasi peringkat saringan
Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin mengenakan caj atau sebarang bayaran untuk mereplikasi projek KIK, maka pihak berkenaan perlu mendapatkan persetujuan dengan pemilik projek KIK supaya dapat memelihara kepentingan pihak yang terlibat