Our History

Sejarah Penubuhan Pusat Tanggungjawab (PTj)

Akademi Pendidikan / Sekolah Makmal Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan sebuah Pusat Tangungjawab (PTj) yang dibina atas inisiatif bagi menubuhkan sebuah sekolah. Pada 19 Julai 2013, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memutuskan bahawa Sekolah Makmal yang sebelum ini dirangka sebagai sebuah sekolah swasta ditukar fungsinya kepada sekolah kerajaan di bawah Akta Pendidikan (Akta 550). Dalam perubahan yang baharu ini, aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PnP) akan di uruskan oleh UPSI menggunakan sukatan pelajaran sama dengan pendekatan yang berbeza.

Pada 28 Julai 2015, usaha-usaha kearah penubuhan Sekolah Makmal telah tertangguh berikutan rombakan kabinet Malaysia yang mana menyaksikan penstrukturan semula Kementerian Pendidikan Malaysia kepada dua kementerian yang berasingan iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Perbincangan yang dilakukan selepas penstrukturan semula ini telah mengambil masa yang terlalu lama, menyebabkan UPSI membuat keputusan untuk meneruskan idea asal pembinaan sekolah swasta di bawah pentadbiran UPSI.

PTj Sekolah Makmal ini telah menyaksikan pertukaran Pengarah sebanyak empat kali dalam tempoh 8 tahun. Profesor Dato Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan telah dilantik bermula tahun 2012 sehingga 2014. Setelah tamat tempoh lantikan, jawatan tersebut diambil alih oleh Prof.Madya Dr. Muhammad Bazlan bin Mustaffa dari tahun 2015 sehingga 2017. Tanggungjawab ini diteruskan oleh Prof Madya Dr. Husni bin Ibrahim yang dilantik menerajui PTj ini dari tahun 2017 sehingga tahun 2019. Terkini, pada tanggal 16 Ogos 2019, jawatan pengarah Sekolah Makmal disandang oleh Dr. Mohd Hafiz bin Md Hanif.

Dibawah pentadbiran baharu, Akademi Pendidikan / Sekolah Makmal telah melalui fasa penjenamaan semula yang dilihat perlu bagi memastikan kelestarian PTj dan kelangsungan inisiatif-inisiatif yang telah dirancang. PTj ini dikenali sebagai Pusat Inisiatif Permodenan Pendidikan atau dalam Bahasa Inggeris Neoteric Education Initiatives Centre (NiCE), sesuai dengan penstrukturan semula yang lebih holistik dan bersifat moden.