Konsep Asas Moral

Konsep Asas Nilai 

Info

Arahan: Baca info berikut.

Definisi nilai

Dari segi bahasa, nilai ialah darjat, kualiti, mutu, atau taraf dan juga sifat ketinggian dalam aspek pemikiran, agama, kemasyarakatan dan lain-lain (DBP).

Dalam takrifan yang menyeluruh, nilai ialah piawai bagi mempertimbangkan sesuatu perkara sebagai baik, berfaedah, diingini, dan berharga atau sebaliknya iaitu buruk, tidak berfaedah, dan dibenci. 


Domain nilai

Secara asasnya kita dapat membezakan sesuatu nilai berbanding nilai lain mengikut pelbagai domain tertentu yang boleh dikategorikan sebagai nilai moral atau nilai bukan moral seperti berikut:


a. domain moral (contoh: kejujuran, pemurah, dsb)


b. domain agama atau rohani (contoh: kesucian, ketuhanan, kesyukuran, iman, dsb)

c. domain ekonomi (contoh: produktiviti, kejayaan, dsb)

d. domain politik (contoh: demokrasi, kedaulatan, patriotisme, hak mengundi dsb)

e. domain sosial (contoh: kesalinghubungan, kejiranan, komunikasi, dsb)

f. domain fizikal (contoh: kesihatan, keselamatan, sistematik dsb)

g. domain intelek (contoh: bijak, kreatif, inovatif, dsb)

h. domain estetika (contoh: keindahan, kehalusan, keselesaan, kondusif, dsb)


Persoalannya, apakah yang membezakan nilai moral berbanding nilai bukan moral?

Nilai moral merujuk nilai yang dianggap oleh individu atau kumpulan masyarakat sebagai sesuatu yang 'baik' dan 'patut' dari segi moral (Frankena, 1973). 

Manakala nilai bukan moral pula walaupun diangap 'baik', ia tidak dianggap 'baik dan patut' dari segi moral. Misalnya nilai bertimbang rasa dalam domain moral dan nilai demokrasi dalam domain politik, kedua-duanya dianggap perkara baik namun sudah tentu berbeza.

Penting untuk diperhatikan, klasifikasi mengikut pelbagai domain ini adalah bersifat luwes atau fleksibel. Ada nilai moral yang berpunca daripada domain agama seperti bersikap jujur namun nilai moral tidak meliputi semua nilai dalam agama seperti kepercayaan dan meditasi. Selain itu, nilai moral sama dengan nilai sosial dari segi penerimaan atau penolakan sesuatu perlakuan namun, individu tidak bergantung kepada nilai dalam domain sosial atau undang-undang dalam mempertimbangkan perlakuan mencederakan individu lain sebagai wajar atau tidak. Berasaskan nilai moral, kita tidak akan mencederakan orang lain, tanpa perlu merujuk nilai dalam domain sosial atau undang-undang.

Jadi, persamaan dan perbezaan antara nilai moral dengan nilai bukan moral tertakluk kepada cara sesuatu nilai itu digunakan oleh individu.


Ciri-ciri nilai moral

Terdapat beberapa ciri nilai moral. Antaranya:


Individu yang menghayati nilai tanggungjawab akan mencerminkan nilai tersebut dalam perlakuan dan percakapannya serta dia akan mempertahankan nilai tanggungjawab pada dirinya dan mengkritik orang lain yang bersikap tidak bertanggungjawab.


Misalnya nilai hormat kepada ibu bapa masih stabil dalam kehidupan kita. Prioriti atau keutamaan seseorang juga menentukan sama ada sesuatu nilai diamalkan atau tidak. Contohnya, Amir mungkin mengutamakan nilai amanah berbanding nilai ramah mesra yang mungkin berbeza dengan nilai yang diutamakan oleh Vasanti. Berdasarkan contoh ini, Amir mungkin memilih tindakan yang berlainan berbanding tindakan Vasanti ketika menyelesaikan masalah dalam situasi tertentu.


Fungsi nilai moral

Nilai juga mempunyai beberapa fungsi. Antaranya:


Nilai menjadi penunjuk arah dalam bertingkahlaku dan dalam merenungi kewajaran tingkah laku sendiri serta orang lain. Jika seseorang mematuhi peraturan dengan beratur di kantin atau perhentian bas kerana berpendirian bahawa perlakuan itu baik untuk dirinya dan orang lain, maka dia akan beratur tanpa paksaan di tempat-tempat awam lain.


Nilai bukan hanya merangsang, malah mengehadkan perlakuan seseorang. Individu bertindak mengikut nilainya sendiri dan mengelakkan perlakuan yang bercanggah dengan nilai yang dihayatinya.


Dalam situasi tertentu dengan kewujudan nilai yang berkonflik, keutamaan nilai seseorang itu membantunya mempertimbangkan penyelesaian yang akan dipilih.


Jenis-jenis nilai moral


Nilai yang kebaikannya tidak terikat kepada peraturan, situasi atau kebiasaan sesebuah masyarakat. Nilai ini telah terbukti dan diterima umum sebagai baik atau buruk serta kekal sepanjang masa, di semua tempat dan dalam semua situasi norma mana-mana masyarakat.

Contohnya nilai menghormati ibubapa, semua masyarakat di dunia secara sejagat setuju bahawa anak patut menghormati ibu bapa. Selain itu, secara universal nilai hidup berkeluarga dianggap satu amalan kehidupan yang baik.


Nilai diingini atau tidak diingini sebagai alat peraturan masyarakat mencapai matlamat masyarakat yang muktamad. Nilai ini bersifat arbitrari atau tidak tertentu, tidak sempurna dan berbeza-beza antara masyarakat yang berlainan serta boleh berubah mengikut masa.

Contohnya nilai perkahwinan secara rasmi. Dalam masyarakat di kebanyakan negara-negara asia, keluarga hanya dibina melalui perkhawinan rasmi. Namun di sesetengah negara-negara barat, keluarga boleh sahaja dibentuk tanpa melalui perkahwinan rasmi malah tidak terikat kepada jantina tertentu secara tradisi.


Kualiti yang muktamad sama ada diingini atau tidak diingini. Nilai ini tidak bergantung kepada nilai lain untuk mencapai matlamat kerana nilai ini sendiri adalah matlamat akhir.

Misalnya nilai baik hati, kasih sayang, keadilan dan seumpamanya. Contohnya, Azmi yang menyayangi ibu bapanya sanggup berkorban apa sahaja demi kesenangan mereka dan tidak pernah mengharapkan harta warisan kerana baginya seseorang anak berkewajipan menjalankan tanggungjawab terhadap ibubapa. 


Kualiti sama ada diingini atau tidak sebagai alat mencapai matlamat atau nilai lain. Misalnya nilai berani, rajin, hormat dan ikhlas. Kita perlu ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab harian kita.  Daripada sifat ikhlas, kita akan memperoleh nilai-nilai lainnya seperti ketenangan dan kepuasan kendiri.


Kualiti bernilai yang diingini atau tidak diingini yang bebas daripada kecenderungan atau  keutamaan peribadi. Nilai ini sama ada diterima atau ditolak adalah berdasarkan satu set kriteria yang dipersetujui oleh kebanyakan orang. Contohnya peperangan, semua orang suka akan nilai keamanan dunia lalu secara objektifnya, semua orang menolak atau ingin mengelak daripada berperang khususnya secara bersenjata kerana kesan peperangan adalah satu malapelaka yang dahsyat.



Kualiti diingini dan lebih digemari atau tidak diingini dan lebih dibenci seseorang individu yang memberikan pandangan. Contohnya Ravin seorang remaja yang rajin belajar namun setelah penat belajar, dia akan melepak di pusat beli belah berhampiran dengan rumahnya. Dia berpendapat bahawa melepak tidak salah kerana dia dapat melepaskan tekanan.


Perbincangan seterusnya adalah tentang Definisi moral, etika dan akhlak.

1 2 3 4>>