Konsep Asas Moral

Definisi moral, etika dan akhlak

Info

Arahan: Baca info berikut.

Pengenalan

Kehidupan bermasyarakat menuntut kita supaya bermoral, berakhlak dan beretika. Seseorang individu harus bermoral dalam bertingkah laku untuk hidup aman sentosa dalam masyarakat. Melakukan tingkah laku bermoral menjadi penentu kepada penerimaan masyarakat terhadap individu sebagai salah seorang warganya. Insan yang rendah moralnya dalam bertingkah laku akan dianggap sebagai ahli masyarakat yang menyimpang daripada norma lalu dipinggirkan. Sebaliknya, individu yang memiliki sahsiah dan personaliti yang bermoral tinggi akan dimuliakan serta disanjung oleh masyarakat dengan penghormatan dan penghargaan.

Definisi Moral

Perkataan moral berasal daripada bahasa Latin iaitu moralis yang bermaksud tingkah laku yang sesuai dengan tatasusila dan peraturan masyarakat. Kamus Dewan (1994) mendefinisikan moral sebagai ajaran atau pegangan berkenaan baik buruk sesuatu perbuatan.

Moral berkaitan dengan tingkah laku dan amalan yang baik atau pegangan berkenaan amalan nilai baik atau buruk sesuatu perbuatan. Berbudi bahasa dan mematuhi peraturan jalan raya adalah perlakuan bermoral. Bermoral bermaksud memiliki sifat-sifat baik dan terpuji selaras dengan kehendak keluarga, masyarakat dan negara. Insan bermoral mampu membuat pertimbangan tentang sesuatu keinginan, iaitu dia akan bertingkah laku berdasarkan peraturan masyarakat yang telah diterima secara rasional.

Moral juga boleh dikenal sebagai tatasusila, peraturan dan nilai murni masyarakat seperti baik hati, ikhlas, berdikari, berhemah tinggi, hormat menghormati, penyayang, adil, kebebasan, keberanian, jujur, rajin, kerjasama, berfikiran rasional dan menjaga keharmonian masyarakat. Orang bermoral sentiasa bertindak secara berdisiplin dengan menghayati piawai hidup bermasyarakat. Piawai atau standard moral ini menjadi kawalan terhadap tingkah laku supaya dapat bertindak dengan rasional terhadap sesuatu keputusan moral. Keputusan moral melibatkan penilaian tentang sesuatu yang dikatakan sebagai benar, patut, betul, baik, sesuai atau wajar. Tidak bermoral bermaksud tidak memiliki sifat-sifat dan nilai moral yang baik misalnya suka menipu, berat tulang, malas dan suka mengumpat. 

Maka, moral bermaksud tingkah laku, perbuatan dan amalan yang sesuai dan selaras dengan kehendak budaya, tatasusila dan undang-undang masyarakat mahupun negara.

Secara ringkasnya, moral merupakan:

Definisi Etika

Etika (ethice) berasal daripada perkataan Yunani (Greek) iaitu ethos yang merujuk kepada perlakuan seseorang. Etika adalah kajian tentang tingkah laku manusia sama ada baik, benar atau salah serta sengaja atau tidak. Etika adalah satu kajian falsafah tentang moral iaitu tentang kelakuan yang baik, sikap moral, keadilan sosial dan tanggungjawab moral dan ciri-ciri kehidupan yang baik.

Menurut Kamus Dewan, etika bermaksud ilmu berkenaan prinsip-prinsip akhlak atau moral yang menjadi pegangan individu, organisasi atau kumpulan tertentu. Konsep etika sangat berkait rapat dengan moral dan insan bermoral. Maksudnya apabila seseorang yang melakukan amalan etika, dia boleh dianggap sebagai insan bermoral.

Definisi Akhlak

Istilah akhlak berasal daripada kalimah bahasa Arab iaitu khuluk yang bermaksud tingkah laku atau perangai, tabiat, kepercayaan, pegangan atau agama. Menurut Kamus Dewan, akhlak bererti budi pekerti, kelakuan, tabiat serta termasuk juga perangai, tingkah laku dan adat kebiasaan. Maka, akhlak bermaksud sifat-sifat dalam diri atau jiwa yang dapat melahirkan sesuatu perbuatan tanpa pemikiran, penelitian atau paksaan.

Apabila sesuatu perbuatan zahir yang dijelmakan daripada jiwa seseorang itu baik dan mulia menurut pandangan prinsip Islam maka perlakuan tersebut adalah tingkah laku berakhlak dan begitulah juga sebaliknya.

Akhlak ialah satu konsep Islam iaitu berkenaan perlakuan baik dan buruk manusia. Konsep akhlak boleh disamakan dengan konsep moral dari aspek ini malah lebih mendalam kerana melibatkan soal hati dan ketuhanan yang satu iaitu niat seseorang bertingkah laku. Seseorang dikatakan berakhlak mulia jika dia melakukan perbuatan yang baik menurut prinsip Islam dan niatnya adalah kerana semata-mata kerana Tuhan Yang Maha Esa. Maksudnya perbuatan yang baik perlu disertakan dengan niat yang betul dan mulia tersebut jadi, perbuatan memberi derma dengan tujuan menunjuk-nunjuk atau diketahui oleh orang lain adalah perbuatan yang tidak berakhlak menurut Islam.

Maklum balas

Arahan: Jawab soalan berikut.

Jelaskan sebab manusia perlu bermoral, beretika dan berakhlak.

Perbincangan seterusnya adalah tentang Jenis-jenis Pemikiran Moral

1 2 3 4 5>>