PROFIL SMK BUM-BUM, SEMPORNA

PELAN SEKOLAH

VISI SEKOLAH

"Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera"



MISI SEKOLAH

"Melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara"


MOTO SEKOLAH

SEJARAH RINGKAS SEKOLAH

Sekolah Menengah Kebangsaan Bum-Bum, Semporna yang ditubuhkan pada 2 Februari 1981 merupakan satu-satunya Sekolah Menengah Kebangsaan yang berdiri gah di Pulau Bum-Bum. SMK Bum-Bum dikelilingi oleh 14 buah kampung dan berhampiran dengan beberapa sekolah rendah iaitu SK Labuan Haji, SK Gelam-Gelam, SK Sisipan, SK Egang-Egang, SK Berpusat Bum-Bum, SK Sulabayan, SK Terusan Baru, SK Terusan Tengah, SK Tongkalloh dan SK Hampalan. Pada awalnya, SMK Bum-Bum hanya menumpang di Sekolah Kebangsaan Berpusat Bum-Bum. Namun, atas dasar keprihatinan Kementerian Pelajaran Malaysia, akhirnya tapak sekolah berpindah ke bangunan baharu dengan keluasan 78 ekar dalam kawasan Kampung Terusan Tengah.

SMK Bum-Bum pernah ditadbir oleh 12 orang pengetua yang telah berusaha sedaya upaya memajukan SMK Bum-Bum dan dikenali oleh orang ramai. Jumlah pelajar juga meningkat dari tahun ke tahun dan kini, bilangan pelajar dalam anggaran dua ribu orang yang melibatkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 serta pelajar Tingkatan 6.

Kini, SMK Bum-Bum ditadbir oleh Tuan Hj. Johan Bin Hj. Okasa selaku Pengetua SMK Bum-Bum yang telah membawa slogan “Menjulang Anak Bangsa”. Sememangnya, slogan ini membawa pelbagai erti sekali gus memberi kesedaran kepada semua warga sekolah dan masyarakat kampung agar menempa kejayaan dari aspek Kurikulum, Kokurikulum dan Sahsiah dalam kalangan anak-anak pulau. Slogan ini turut diberi nafas baharu dengan menyelitkan slogan tersebut dalam lirik lagu sekolah. Tuntasnya, kepimpinan beliau yang penuh bersemangat waja dan keprihatinannya telah membuka mata pelbagai pihak yang mana anak-anak pulau juga mampu mencapai kejayaan.

Konklusinya, kekuatan SMK Bum-Bum terletak melalui jalinan yang sangat padu antara warga sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana keperitan, kesusahan, kegembiraan dan kecemerlangan dirasai bersama-sama sepanjang masa. SMK Bum-Bum walaupun sekolah bertaraf pulau, namun semangat yang ada pada warganya dapat memintas sekolah-sekolah lain hanya untuk menyahut transformasi pendidikan khususnya dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).


LOGO SEKOLAH

TAFSIRAN BENTUK
  • Bentuk bulat yang menjadi asas logo melambangkan kerjasama yang erat dalam kalangan warga sekolah.
  • Bentuk piramid/anak tangga adalah simbolik perjalanan menuju ke puncak, iaitu melambangkan peranan SMK Bum Bum sebagai satu platform untuk warganya (staf dan pelajar) memburu kejayaan dalam hidup. Lima anak tangga berwarna putih melambangkan 5 prinsip Rukun Islam dan 5 prinsip Rukun Negara adalah asas pembentukan jati diri warga sekolah. Anak tangga berwarna merah adalah simbol keiltizaman dan semangat membara untuk mencapai kecemerlangan. Kedudukan di puncak piramid melambangkan matlamat yang ingin dicapai.
  • Enam jalur putih adalah simbolik enam prinsip Rukun Iman yang menjadi panduan dalam hidup.
  • Imej buku terbuka adalah melambangkan keterbukaan dan keikhlasan warga sekolah dalam menyuburkan percambahan ilmu.

TAFSIRAN WARNA
  • Warna Oren adalah warna korporat SMK Bum-Bum yang melambangkan kesiapsiagaan warga sekolah meneroka dan mengharungi cabaran alaf baru.
  • Warna Biru Tua melambangkan perpaduan segala unit yang membentuk jati diri sekolah.
  • Warna Biru Muda adalah simbolik laut yang menggambarkan kedudukan SMK Bum-Bum yang terletak di sebuah pulau. Warna ini turut melambangkan kelembutan dan kasih sayang.
  • Warna Putih melambangkan kesucian, keikhlasan dan integriti selaras dengan visi sekolah.
  • Warna merah melambangkan keberanian dan semangat membara.

© 2020 ubksmkbbs. Hak Cipta Terpelihara.

Penafian Data dan Maklumat

Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam portal ini.