Sejarah Penubuhan Beca Elektrik (e-Beca)

Menerusi Pusat Kecemerlangan UTeM (CoE) universiti yang diketuai oleh Prof. Datuk Dr. Abu Abdullah bersama sekumpulan penyelidik universiti telah memperkenalkan beca elektrik (e-beca) menggunakan tenaga solar kepada komuniti setempat dan pelancong. Idea untuk menarik taraf beca sedia ada telah dicetuskan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) universiti, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Jailani Mohd Nor dalam usaha memartabatkan beca sebagai pengangkutan awam di negeri Melaka yang banyak membantu dari sektor pelancongan khususnya sejak dari dahulu lagi. Untuk itu, universiti yang sentiasa menerajui penyelidikan dalam pelbagai bidang turut tidak ketinggalan dalam pembangunan sektor pelancongan dan kebudayaan Malaysia amnya dan negeri Melaka khususnya.

Projek yang julung kalinya dibangunkan oleh Ketua Penyelidik iaitu Prof. Madya Ir. Dr. Abdul Rahim Abdullah bersama-sama dengan kumpulan penyelidikan dan teknikal universiti telah berjaya menghasilkan e-Beca UTeM yang pertama pada tahun 2016 dan telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil bin Yaakob pada majlis konvokesyen ke-12 universiti. Perasmian beca tersebut telah mendapat liputan meluas bukan sahaja media masa dan arus elektronik malahan telah menjadi buah mulut di kalangan warga universiti dan komuniti setempat.

Pembangunan Mampan Konsep e-Beca

Dengan penghasilan e-beca yang dibangunkan oleh Ketua Penyelidik iaitu Prof. Madya Ir. Dr. Abdul Rahim Abdullah dan kumpulan penyelidikannya, ianya dapat memberikan nilai tambah teknologi baru kepada beca konvensional sedia ada, mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida, mewujudkan perkhidmatan pergi balik (shuttle trishaw) sekaligus mengurangkan kadar kesesakan trafik di bandar Melaka. Selain itu, juga hasrat kerajaan negeri dalam menjadikan negeri Melaka sebagai Bandaraya Hijau dengan menjanjikan persekitaran yang lebih bersih di samping membuka lebih banyak pilihan pengangkutan bagi pelancongan negeri Melaka. Selain itu juga, e-Beca yang dibangunkan juga boleh dijadikan sebagai medium penyebaran maklumat pada paparan digital (LED) yang dipasang.

Spesifikasi dan Teknologi Kejuruteraan e-Beca

e-Beca yang dihasilkan mempunyai beberapa kelebihan utama yang terletak pada struktur, kawalan, teknologi dan juga sistem sokongan/selanggaraan di mana ianya dibina di makmal penyelidikan di UTeM menggunakan teknologi kerangka yang lebih ringan tetapi kukuh dengan kandungan utama keluli dan aluminium komposit manakala dari segi kawalan pula, e-Beca ini terletak pada sistem solar yang berupaya menukar kuasa solar kepada kuasa elektrik.

UTeM adalah perintis bagi tujuan latihan dan penyelidikan ke arah teknologi beca elektrik sekaligus menjadikan Melaka rendah karbon dan dapat meningkatkan kadar pelancong ke negeri ini.

Tempah e-Beca secara on-line

Pelbagai penambahbaikan sentiasa dilakukan bagi aktiviti pengkormesilan seperti penawaran sistem paparan LED yang berfungsi sebagai medium penyampaian maklumat, pemasaran dan pengiklanan yang dibangunkan oleh Prof. Madya Dr. Haslinda Musa.

Penawaran pesanan melalui sistem aplikasi langganan e-Beca bakal dilancarkan tidak lama lagi. e-Beca tersebut bakal ditawarkan kepada persatuan beca dan kelab beca negeri Melaka melalui sewaan dan belian di mana pengusaha beca boleh memilih untuk menambah baik beca sedia ada yang dimiliki mereka ataupun membuat pembelian e-Beca baru dengan spesifikasi pilihan dengan penawaran harga yang paling minimum dan mampu milik di samping turut di tawarkan dengan sistem sokongan dan penyelenggaraan kepada e-Beca tersebut.

Jom Bantu Penarik Beca dan Warisan Negara Kita

Konsep Penjanaan Modal ataupun Crowd Funding ditubuhkan pada dasarnya untuk membantu Persatuan Beca Melaka mendapatkan beca elektrik. Dengan kepakaran dan kapasiti kumpulan penyelidikan UTeM, ianya dapat membantu komuniti setempat di samping menarik lebih ramai pelancong ke negeri Melaka. Sebanyak RM30,000 diperlukan bagi membiayai projek ini. Dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)-Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Melaka (MOTAC) khususnya usaha ini dapat menarik minat masyarakat bagi bersama-sama membantu usaha murni ini untuk mempromosikan dan memasarkannya bagi membantu pengusaha beca dan Persatuan Beca Melaka amnya.