Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sangat prihatin untuk membantu mengurangkan jurang pendidikan yang wujud dengan mengenalpasti faktor keciciran di kalangan murid sekolah adalah disebabkan kemiskinan. Untuk mengatasi masalah ini, KPM melancarkan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang bertujuan memberi bantuan kepada pelajar miskin supaya tidak tercicir dalam meneruskan persekolahan selaras dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib yang diperkenalkan pada Januari tahun 2003.
Seksyen 29A, Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] menyatakan bahawa ibu bapa wajib menghantar anak mereka ke sekolah mulai Darjah Satu. Justeru, KWAPM ini bertujuan untuk membantu ibu bapa yang tidak berkemampuan menghantar anak mereka ke sekolah. Tabung ini telah memperolehi peruntukan daripada kerajaan dan sumbangan pihak luar. Hal ini secara tidak langsung dapat mengelakkan keciciran, meningkatkan tahap pencapaian akademik serta menjana kecemerlangan pelajar secara menyeluruh.
Antara objektif utama Bantuan KWAPM ini adalah untuk memberi bantuan secara khusus kepada murid miskin warganegara Malaysia di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan dari semua golongan bangsa dan agama dengan harapan dapat mengelakkan sama sekali keciciran malahan dapat meningkatkan tahap pencapaian akademik serta menjana kecemerlangan pelajar secara holistik.