JOM KESSA!
MAJLIS PERASMIAN PROGRAM KESEDARAN SUMBER AIR (KESSA) DI LEMBANGAN SUNGAI MELAKA
MITC MELAKA - 10 Mei 2024 | Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia melalui Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi (BPSAH) telah melaksanakan Majlis Perasmian Program Kesedaran Sumber Air (KESSA) yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Zulkiflee bin Datuk Seri Mohd Zin, Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim & Pengurusan Bencana Negeri Melaka. Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ir. Rozman bin Mohamad, Pengarah BPSAH dan YBrs. Ir. Dr. Hj. Muhammad Khairudin bin Khalil, Pengarah, JPS Negeri Melaka.
Majlis Perasmian ini diadakan seiring dengan Pelaksanaan Program KESSA Sg. Melaka Siri ke-8: Bersama Agensi dan Industri. Seramai lebih 30 peserta daripada pelbagai agensi dan industri telah hadir di majlis perasmian ini dan seterusnya menyertai program KESSA Siri ke-8. Peserta yang terlibat terdiri daripada pegawai Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Negeri Melaka, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Cawangan Melaka, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Negeri Sembilan dan Melaka, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Melaka, Badan Kawal Selia Air (BKSA) Jabatan Ketua Menteri Melaka dan beberapa wakil daripada syarikat industri di sekitar Melaka seperti Mahkota Parade (Hektar Property Sdn Bhd) dan Annur Agropark dan lain-lain.
Pelaksanaan program KESSA Sg. Melaka melibatkan 20 Siri Program Kesedaran Sumber Air dengan objektif untuk meningkatkan pengetahuan berkenaan kepentingan konservasi air melalui amalan pengurusan air terbaik bagi mendorong perubahan sikap ke arah amalan penggunaan air secara efisien. Program KESSA ini juga menjadi platform mempromosikan program NAWABS kepada pelbagai lapisan masyarakat. Antara aktiviti kesedaran yang dilaksanakan seperti pameran sumber air dan langkah-langkah penjimatan penggunaan air, pertandingan video dan poster sumber air, program kita semula dan aktiviti jimat semasa berwudhuk 1 mud, gotong royong, hebahan kesedaran sumber air di dalam khutbah jumaat, penjimatan air dengan aplikasi myKESSA dan pelbagai program lain.
“PELIHARA SUMBER AIR KE ARAH KEHIDUPAN LESTARI”