TEKS UCAPAN
YBHG. MEJAR (K) DATO' IR. DR. HJ. AHMAD ANUAR BIN OTHMAN
KETUA PENGARAH
JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN, MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
PERTANDINGAN HORIZON BAHARU
KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF (KIK) TAHUN 2024
PERINGKAT JPS MALAYSIA
BERTEMPAT
DEWAN SERBAGUNA, MENARA USAHAWAN,
PUTRAJAYA
10 JUN 2024
SALUTASI
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Terima kasih saudara dan saudari Pengacara Majlis.
Yang Berusaha Ir. Amiruddin bin Alaldin
Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pakar, JPS Malaysia
Yang Berusaha Ir. Mohamad Radzi bin Abdul
Pengarah Kanan (Sektor Pengurusan), JPS Malaysia
Yang Berusaha Encik Khairul Anuar bin Abd. Rashid
Pengarah Audit Prestasi, JPS Malaysia
Pengarah-pengarah JPS Bahagian Ibu Pejabat,
Pengarah-pengarah Pengairan dan Saliran Negeri,
Barisan Panel Juri Pertandingan Horizon Baharu Kumpulan Inovatif & Kreatif,
Dato’-dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan serta Para Peserta Pertandingan Horizon Baharu KIK Peringkat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia Tahun 2024 yang dihormati sekalian.
PENDAHULUAN
Dato’-dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul pada pagi yang berbahagia ini sempena Majlis Perasmian Pertandingan Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Tahun 2024 Peringkat JPS Malaysia
2. Pertama sekali, Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Bahagian Audit Prestasi, JPS Malaysia yang telah memainkan peranan penting dan berusaha keras bagi memastikan majlis ini berjalan dengan lancar.
OBJEKTIF PERTANDINGAN HORIZON BAHARU KIK
Dato’-dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
3. Untuk makluman Tuan-Tuan dan Puan-Puan, tahun ini adalah merupakan tahun kedua pelaksanaan Pertandingan Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) yang diadakan secara dwitahunan. Pelaksanaan secara dwitahunan ini bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada warga JPS untuk lebih berinovasi dan berkreativiti dalam mencipta seterusnya menghasilkan produk-produk inovasi yang dapat membantu memudahkan pelaksanaan kerja, meningkatkan produktiviti dan seterusnya penyampaian perkhidmatan kepada awam. Ini dapat dilihat melalui penyertaan sebanyak Empat Puluh Tiga (43) kumpulan dari JPS Bahagian dan JPS Negeri dalam pertandingan HBKIK pada tahun ini iaitu pertambahan sebanyak 23% dari penyertaan tahun 2022 yang hanya melibatkan penyertaan Tiga Puluh Tiga (33) kumpulan.
4. Pada tahun ini juga buat julung kalinya JPS Sarawak dan JPS Sabah turut menyertai pertandingan HBKIK peringkat JPS Malaysia. Syabas dan tahniah!. Pertambahan penyertaan ini menunjukkan terdapat perkembangan positif terhadap program/aktiviti inovasi di peringkat JPS Bahagian dan JPS Negeri.
5. Usaha membudayakan inovasi dan kreativiti perlu disusun dengan lebih sistematik dan menyeluruh menerusi penjanaan lebih banyak idea-idea baharu untuk kesejahteraan warga kerja JPS keseluruhannya. Usaha Jabatan dalam membudayakan inovasi dapat dilihat melalui platform pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Tindakan Inovasi (PTI) Jabatan yang melibatkan penglibatan JPS Bahagian dan JPS Negeri.
6. Pelaksanaan HBKIK merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Tindakan Inovasi (PTI) Jabatan yang mana ia dapat mewujudkan budaya kerja yang mantap, berinovasi, kreatif dan berpandangan jauh bagi meningkatkan kualiti kerja dan keberkesanan dalam sistem penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan khususnya JPS kepada masyarakat.
7. Keadaan ini juga adalah selaras dengan perubahan persekitaran yang dinamik berkaitan kehendak pelanggan dan pihak berkepentingan yang semakin meningkat, yang memerlukan kita sentiasa menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan. Sistem penyampaian perlu mengutamakan sifat keterbukaan terhadap sesuatu idea yang baharu dan ketersediaan untuk beralih ke dunia digital yang lebih holistik dan inklusif sesuai dengan arus perubahan teknologi semasa.
8. Bagi tujuan jangka masa panjang adalah diharapkan produk- produk yang dihasilkan tidak akan terhenti setakat memasuki pertandingan HBKIK sahaja, sebaliknya dapat melihat potensi produk untuk dikembangkan dan dikomersialkan pada masa akan datang yang mana akan memberikan nilai pulangan kepada Jabatan dan juga kepada perekacipta.
9. Melalui pertandingan HBKIK ini juga, Jabatan dapat mengenalpasti kumpulan HBKIK layak dan terbaik untuk mewakili JPS Malaysia ke peringkat pertandingan yang lebih tinggi.
GALAKAN PENYERTAAN WARGA JPS
Dato’-dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
10. Sepanjang lima (5) hari pertandingan ini berlangsung, saya berharap setiap kumpulan yang bertanding akan menunjukkan semangat berpasukan serta kesungguhan dalam menyampaikan dan mempersembahkan idea inovatif dan kreatif kumpulan masing-masing.
PENGHARGAAN KEJAYAAN PRODUK INOVASI
Dato’-dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
11. Pada 16-17 Mei 2024 yang lalu, produk i-Floodgauge Telemetry dari Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi (BPSAH) telah memenangi PINGAT EMAS di dalam 35th International Invention, Innovation & Technology Exhibition, Malaysia 2024 (ITEX’24) yang bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC)
12. TAHNIAH DAN SYABAS DIUCAPKAN! kepada pasukan yang telah berjaya mengharumkan nama JPS Malaysia.
KOMITMEN PIHAK PENGURUSAN JPS
Dato’-dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
13. Komitmen pihak pengurusan Jabatan akan sentiasa terus memberi sokongan terhadap program-program inovasi umumnya dan HBKIK khususnya. Ini kerana pihak pengurusan menyedari bahawa impak yang positif dapat dicapai dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan sekiranya HBKIK dijalankan dengan berkesan.
14. Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri diminta untuk bersama-sama memberi galakan dan merangka strategi bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif serta menggalakkan persaingan yang sihat bagi menyemarakkan lagi aktiviti kreativiti dan inovasi organisasi masing-masing.
15. Saya berharap usaha ini akan sentiasa berterusan dan menjadi keutamaan JPS untuk terus mempergiatkan usaha dalam menyemarakkan lagi budaya inovasi dan kreativiti di masa hadapan.
PENGHARGAAN PANEL JURI DAN PESERTA
16. Bagi pihak Jabatan, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Panel Juri, En. Al-Bakri bin Mohammad @ Ahmad dari Universiti Teknologi Mara dan ahli-ahli panel iaitu Kol. Ir. Ts. Dr. Mohd Ghazali bin Abdul Rahman dari Kementerian Pertahanan Malaysia dan En. Mohd Faizal bin Jalil dari Kementerian PeralihanTenaga & Transformasi Air, PETRA kerana sudi dan bersetuju untuk melaksanakan tugasan penjurian sepanjang pertandingan HBKIK ini akan dijalankan.
17. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada empat puluh tiga (43) kumpulan yang akan bertanding pada HBKIK tahun 2024. Sama-samalah kita tunggu dan lihat nanti, kumpulan manakah yang akan merangkul kejuaraan yang akan diumumkan semasa sambutan Hari Inovasi JPS Tahun 2024 pada bulan September 2024 kelak.
PENUTUP
Dato’-dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian
18. Akhir kata, sekali lagi setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang terlibat khususnya Bahagian Audit Prestasi selaku urusetia majlis pada pagi ini dan seterusnya menganjurkan pertandingan Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) mulai hari ini dengan jayanya.
19. Dengan lafaz “Bismillahhirrahmanirrahim” saya dengan sukacitanya merasmikan Pertandingan Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) Peringkat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia bagi Tahun 2024.
Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.