Tarikh : 27 Februari 2024
Tempat : Swiss Garden Hotel, Kuala Lumpur
Pada 27 Februari 2024, telah berlangsung majlis perasmian bagi The 56th Session of Typhoon Committee di Swiss Garden Hotel, Kuala Lumpur yang telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Ching Thoo A/L Kim, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Bagi tahun 2024, Malaysia telah dipilih menjadi tuan rumah dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, YBrs. Tuan Muhammad Helmi Abdullah telah dipilih untuk mempengerusikan The 56th Session of Typhoon Committee yang berlangsung selama empat (4) hari di Kuala Lumpur.
Typhoon Committee ini telah dibentuk sejak tahun 1968 di bawah naungan ESCAP/WMO bagi tujuan mempromosikan dan menyelaraskan perancangan dan pelaksanaan langkah-langkah yang diperlukan untuk meminimumkan kehilangan nyawa dan kerosakan material yang disebabkan oleh taufan di rantau Asia dan Timur. Jawatankuasa ini dianggotai oleh 14 negara anggota iaitu Kemboja, China, Korea, Hong Kong (China), Jepun, Lao; Macao (China); Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand; Viet Nam dan Amerika Syarikat.
Di peringkat Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia merupakan Wakil Tetap Typhoon Committee manakala Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) turut terlibat di dalam bidang Hidrologi yang mana Ir. Dr. Norlida Mohd Dom, Pengarah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) merupakan Hydrological Focal Point Typhoon Committee di peringkat Malaysia.