AKADEMIK
KARNIVAL STEM 2023
AKADEMIK
KARNIVAL STEM 2023
KLANG: Kini dunia dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi. Justeru itu, terma STEM bukan lagi perkara asing dikalangan pelajar sekolah. Apakah itu STEM dan mengapa terma ini menjadi sangat signifikan? STEM merupakan singkatan daripada gabungan perkataan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
Program STEM telah dijadikan prakarsa dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia serta menjadi dasar pendidikan dan pilihan kurikulum sekolah-sekolah di Malaysia. Kolej Islam Sultan Alam Shah juga tidak terkecuali dalam mengadakan program seperti ini.
Hal ini bagi meningkatkan daya saing dalam bidang sains dan teknologi dalam kalangan murid serta merangsang minda dan keupayaan kreativiti murid.
Sekumpulan pelajar mendengar taklimat berkaitan aktiviti STEM
Pada 22 Mei 2023 yang lalu, Pengetua Cemerlang Kolej Islam Sultan Alam Shah, Tuan Kamarul Ariffin Bin Mohd Sharif telah merasmikan Karnival STEM pada tahun 2023 yang diiringi oleh Penolong Kanan Kokurikulum iaitu Puan Farhanah Florence Gustin binti Abdullah.
Dengan perasmian ini, warga KISAS sangat mengharapkan agar lahirnya murid-murid yang lebih intelektual dan berketerampilam dalam bidang profesional ini.
Bukan itu sahaja, murid yang mempunyai potensi berpeluang untuk mengasah bakat mereka serta menimba pengalaman dengan menyertai pertandingan ini pada peringkat lebih tinggi.
Seorang pelajar mencatat hasil perbincangan bersama ahli kumpulan
Pada petang 22 Mei 2023, program Drone Challenge dan Teknologi Pelancaran Roket telah dirasmikan di bawah Karnival STEM 2023.
Pada sebelah petang 23 Mei pula telah dianjurkan program Young Innovators Fair dan Bridge Building Competition dan keesokan harinya iaitu 24 Mei, telah dijalankan program Stempreneur dan Scientific Poster Challenge.
Hari terakhir program STEM Kolej Islam Sultan Alam Shah diakhiri dengan program Young Stemist Conference serta Pertandingan Inovasi Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (PISTEK).
Kesemua program dijalankan dengan jayanya berkat bantuan dan kepakaran serta pengawasan guru-guru KISAS. Tidak lupa juga usaha pelajar dalam melancarkan program ini.
Suasana di makmal semasa kanival STEM berlangsung
Intihanya, tidak dapat dinafikan bahawa program ini menjadi salah satu penyalur ilmu kepada murid malah melahirkan murid yang kreatif dan inovatif.
Hal ini kerana mereka adalah punyambang terbesar bagi kemajuan negara Malaysia di masa akan datang. Jika ditelusuri dengan lebih teliti program ini juga mampu membantu melahirkan tenaga pekerja yang mahir.
Natijahnya, negara akan terus berkembang sebagai sebuah negara maju dalam bidang ekonomi yang berlandaskan STEM.
Anda suka artikel ini ?
Kongsikan kepada rakan anda!