PENGENALAN PEMBIMBING RAKAN DINAMIK (PRD)
Kaunseling Rakan Sebaya (Peer Counseling) telah digunakan secara meluas di institusi pendidikan negara ini bermula di peringkat sekolah hingga ke kolej dan universiti. Konsep ini digunakan untuk program yang berkaitan dengan kaunselor seperti Minggu Suai Kenal, Program Pendidikan Kerjaya, Program Motivasi dan lain-lain lagi.
Pembimbing Rakan Dinamik (PRD) di Kolej Matrikulasi Selangor merujuk kepada kumpulan pelajar yang telah menerima latihan asas kaunseling. Ahli PRD berfungsi sebagai sahabat yang efektif kepada rakan-rakan di kolej terutamanya mereka yang memerlukan sokongan dan pertolongan. PRD menggunakan kemahiran tersebut untuk membantu rakan menangani pelbagai isu dengan menjadi pendengar yang prihatin dan mengambil berat, bersikap empati, dan seterusnya berupaya menjadi ‘support system’ dalam kalangan rakan-rakan yang memerlukan.
Di samping itu, PRD juga berperanan sebagai jambatan antara pelajar dan kaunselor kolej dan sentiasa bersedia untuk membantu mengembangkan serta menjayakan aktiviti Unit Psikologi dan Kaunseling di kolej. Dengan kata lain, pelaksanaan PRD di kolej ialah untuk menggalakkan penjelasan kendiri (self-clarification), perkembangan kendiri (self-development) serta kecemerlangan pencapaian akademik melalui perhubungan yang positif dan sihat dalam kalangan pelajar.
OBJEKTIF
Meningkatkan komitmen pelajar untuk bersama-sama mengambil bahagian yang aktif dalam proses membantu pelbagai isu oleh rakan-rakan.
Menggalakkan perkongsian perasaan, pendapat dan maklumat secara positif ke arah kehidupan yang harmoni sepanjang berada di kolej.
Meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar bahawa kebajikan dan kesejahteraan hidup rakan-rakan adalah tanggungjawab mereka bersama.
Membekalkan ilmu dan pengalaman kepada ahli PRD sebagai persiapan menghadapi rakan-rakan dalam segenap peringkat pada masa hadapan.
LATIHAN
Antara latihan yang akan dijalani oleh PRD ialah:
Kesedaran kendiri
Komunikasi berkesan
Asas perhubungan kaunseling (kemahiran mendengar, kemahiran menyoal, kemahiran memberi respon)
AKTIVITI DAN PROGRAM
Fasilitator bagi program-program Unit Psikologi dan Kaunseling (Minggu Pendidikan Kerjaya/Motivasi/Suai Kenal)
Kem Kepimpinan PRD
Projek ‘Gift’
Program Khidmat Bakti
PRD Care (‘public speaking’ / podcast)