Ziarah Madinah
Pengharaman Kota Madinah dan Sempadan Haramnya
Rasulullah s.a.w mengharamkan Kota Madinah sebagaimana Nabi Ibrahim a.s telah mengharamkan Kota Makkah al-Mukarramah. Rasulullah s.a.w bersabda: (Madinah) Kawasan yang berada di antara dua batu hitam merupakan kawasan haram.
Sempadan Haram Kota Madinah Munawwarah:
1.Kawasan yang terletak di antara dua batu hitam: Dua batu hitam ialah: Dua gurun yang panas di timur dan suatu ketika dahulu dikenali dengan gurun Waqim manakala gurun di baratnya pula dikenali dengan gurun Wabrah.
2.Pengharaman kawasan yang terletak di antara dua gurun dan ketiga-tiga perlembahannya iaitu Jama' Tadaru', Jama' Ummu Khalid dan Jama' Aqil atau Aqir iaitu bukit-bukit kecil yang memanjang ke perlembahan Aqiq dari sebelah barat telaga Urwah (berhampiran Universiti Islam).
3.Pengharaman kawasan antara Thur dan 'Ier.
*Thur ialah bukit kecil di belakang bukit Uhud. Ia berwarna merah. Kini di sebelah belakangnya terdapat jalan menuju ke lapangan terbang.
*'Ier ialah bukit hitam besar yang terletak di sebelah barat daya Zul Hulaifah (kini dikenali dengan Abar Ali). Terdapat lebuhraya di lereng sebelah baratnya.
1.Madinah adalah bumi yang paling dikasihi oleh Allah s.w.t kerana ia merupakan: Tempat Nabi s.a.w berhijrah dan tempat tidur baginda manakala penduduknya pula merupakan jiran-jiran serta penolong baginda. Madinah juga merupakan gedung iman dan di sanalah iman dapat bertahan di akhir zaman nanti.
Di pintu-pintu masuknya terdapat pengawal yang terdiri daripada Malaikat. Dajal dan penyakit taun tidak akan dapat memasukinya. Ia merupakan negara terakhir di dunia ini yang diruntuhkan. Ia juga merupakan tempat diturunkan wahyu. Hampir kesemua tempat di Madinah diturunkan ayat-ayat Al-Quran atau diriwayatkan Hadis-hadis. Ia adalah Haram Allah dan RasulNya s.a.w (Haramain).
2.Sesiapa yang berniat buruk terhadapnya, Allah s.w.t akan membalasnya seperti garam yang larut di dalam air. Ianya terhindar dari segala keburukan atau kejahatan kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah berdoa untuknya yang bermaksud: Ya Allah, jadikanlah kami semua agar tetap menyintai Kota Madinah sebagaimana yang Engkau anugerahkan perasaan cinta kepada Kota Mekah, bahkan lebih dari itu.
Kelebihan Masjid Nabi
Masjid Nabi s.a.w merupakan masjid kedua di dalam Islam yang mempunyai kelebihan serta kedudukan di sisi Allah Azza Wajalla dan yang mempunyai ganjaran pahala berlipat ganda terhadap seseorang yang menunaikan sembahyang di dalamnya serta orang yang bertujuan menziarahinya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
" Janganlah kamu bersusah payah musafir untuk sembahyang kecuali ke tiga buah masjid, iaitu Masjidil Haram di Mekah, masjidku ini (Masjid Nabi) dan Masjidil Aqsa"
Telah ditetapkan bahawa kepada sesiapa yang mendirikan sembahyang di masjid Nabi s.a.w akan memperolehi ganjaran yang sangat besar. Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Satu waktu sembahyang di masjidku adalah lebih baik dari mengerjakan sembahyang sebanyak seribu kali di masjid lain kecuali Masjidil Haram."
Raudhah Al-Musyarrafah
Adab-adab Menziarahi Rasulullah s.a.w:
1. Merendahkan suara ketika menziarahi Rasulullah s.a.w merupakan adab ketika bersama Rasulullah s.a.w dan mentaati firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suara percakapan kamu melebihi suara percakapan Nabi s.a.w dan janganlah kamu menyaringkan suara semasa menghadapkan percakapan kepadanya sebagaimana sesetengah kamu menyaringkan suaranya semasa menghadapkan percakapan kepada sesetengah yang lain.
(Larangan yang demikian) supaya amalan-amalan kamu tidak terhapus pahalanya sedang kamu tidak menyedari". Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya (semasa mereka berada) di sisi Rasulullah s.a.w, Allah s.w.t tidak akan menghapuskan amalan-amalannya
2. Sesungguhnya ayat ini telah diturunkan kepada Thabit bin Qais r.a kerana beliau telah meninggikan suara kerana terlalu takut kepada Allah. Beliau duduk di rumah sambil menangis lalu berkata: Suara akulah yang paling tinggi di kalangan para sahabat ketika berada di sisi Rasulullah s.a.w. Ayat ini tentu telah ditujukan kepadaku.
Apabila Rasulullah s.a.w menyedari kehilangannya, baginda mengutuskan supaya mencarinya. Apabila utusan tesebut sampai di rumah keluarganya, mereka berkata: Itu dia, di dalam rumahnya. Air matanya masih berlinangan semenjak beberapa hari. Apabila mereka masuk menemuinya, beliau berkata bahawa ayat tersebut telah ditujukan kepadanya. Kemudian beliau telah dibawa menemui Rasulullah s.a.w. Baginda menenangkannya dan memberitahu kepada beliau berita gembira tentang Syurga (yang dijanjikan untuknya).
3. Diriwayatkan bahawa Abu Bakar As-Siddiq r.a pernah berkata: Tidak sepatutnya meninggikan suara di sisi Nabi s.a.w samada ketika baginda masih hidup ataupun telah wafat.
4. Apabila Saidatina Aisyah r.a mendengar suara memacak atau seseorang sedang memaku di rumah yang berhampiran, beliau akan memberitahu penghuninya dengan berkata: Janganlah kamu menyakiti Rasulullah s.a.w.
5. Saidina Umar bin Al-Khattab r.a telah melihat dua orang lelaki sedang bermaki hamun di dalam Masjid Nabi s.a.w. Beliau mengutuskan salam kepada mereka berdua agar menemuinya. Ketika mereka datang menghampirinya, beliau bertanya: Dari manakah kamu berdua? Mereka menjawab: Dari Taif. Saidina Umar r.a berkata: Sekiranya kamu berdua berasal dari penduduk Madinah nescaya aku akan memukul kamu berdua kerana sesungguhnya masjid kita ini tidak boleh ditinggikan suara.
Masjid Quba'
1.Masjid pertama di Madinah Munawwarah. Allah s.w.t memuji masjid ini dan orang yang mendirikan sembahyang di dalamnya dari kalangan penduduk Quba' dengan FirmanNya yang bermaksud: Kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya.
Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). Nabi s.a.w telah bersabda kepada mereka: Apakah yang kamu lakukan sehingga Allah telah memperelokkan kamu dengan pujiannya?
Mereka berkata: Kami telah menghimpunkan di antara batu dan air untuk bersuci.
2.Telah diceritakan bahawa Nabi s.a.w menziarahi Masjid Quba' pada tiap-tiap hari Sabtu dengan menaiki tunggangannya. Kadang-kadang baginda pergi ke sana pada hari Isnin.
Sabda Nabi s.a.w lagi:
Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah.
3.Telah diriwayatkan juga bahawa Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengerjakan sembahyang di dalam masjid Quba' pada hari Isnin dan hari Khamis, Allah akan gantikan pahalanya dengan pahala ibadat Umrah.