Tuah dilahirkan pada tahun 1974. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Air Tawar 5, Kota Tinggi. Pendidikan menengahnya pula bermula di Sekolah Menengah Bandar Sungai Mas, Kota Tinggi (Tingkatan 1), sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Semenchu (Tingkatan 2), dan seterusnya menduduki peperiksaan SRP. Selepas tamat persekolahan, Tuah membantu keluarga dengan bekerja di kebun sawit milik ayahnya.
Minat terhadap muzik bermula sejak zaman sekolah, ketika itu beliau aktif dalam lingkungan “kutu tembok” dan sering menyanyi di kenduri-kendara. Pada usia 13 tahun, arwah JS Kevin pernah menawarkan peluang untuk menghadiri sesi uji bakat bagi sebuah band boy, namun tawaran tersebut tidak diteruskan kerana Tuah masih bersekolah.
Pada tahun 1992, Tuah berhijrah ke Kuala Lumpur dan mula aktif sebagai penyokong serta penggiat muzik secara tidak langsung. Beliau menubuhkan sebuah band bernama Finger bersama rakan-rakan dari Kota Tinggi. Mereka pernah menetap sementara di Studio Man Kidal untuk tujuan rakaman, yang ketika itu diuruskan oleh Ozzy Lefthanded. Namun, kekangan peluang dan ruang menyebabkan band ini tidak dapat bergerak aktif sepenuhnya. Lagu “Gadis Pingitan” mula tercetus dalam era ini.
Selepas itu, Tuah kembali menjalani kehidupan sebagai pengikut budaya rock dan menetap di Subang Jaya. Sekitar tahun 2003–2004, beliau aktif bersama kumpulan busker di sekitar Shah Alam dan Subang Jaya. Pada tahun 2004, Tuah berpindah dan menetap di Negeri Sembilan.
Band Sakura ditubuhkan sebagai projek khas untuk penyertaan Battle of the Bands. Melalui band ini, Tuah berjaya mendapatkan peluang untuk menjalani uji bakat dan seterusnya terlibat sebagai pelakon tambahan dalam filem Rock 4 arahan Mamat Khalid. Band Sakura juga pernah menyertai Battle of the Band Rock Nusantara, namun perjalanan mereka terhenti setakat peringkat kedua.
Sekitar tahun 2020, Tuah (Ateng) menubuhkan Analogi Band bersama Zali Leo, Black Nasir, Ijam dan Zeti. Kumpulan ini berjaya menghasilkan lima buah lagu yang diterbitkan melalui platform YouTube. Pada tahun 2022, Tuah berundur dari Analogi Band.
Tuah Solo Project merupakan sebuah projek muzik solo oleh Tuah Abd Razak, juga dikenali sebagai Tuah Ateng atau Tuah Razak. Projek ini menampilkan karya-karya ciptaan sendiri yang dihasilkan secara kolektif bersama kawan-kawan dengan tujuan utama untuk berkongsi muzik dan menghiburkan rakan-rakan yang setia menyokongnya.
Pada hujung tahun 2022, Tuah memulakan Tuah Solo Project dengan kerjasama VST Home Studio dan Alfa Entertainment. Pada tahun 2023, beliau menyiapkan enam buah demo lagu, yang kemudian berkembang menjadi sepuluh lagu, dengan kerjasama Ujang Dicikinson dan Quantize Studio & Production. Walaupun kemahiran yang terhad, tetapi dengan cara sendiri Tuah tetap berusaha memberikan persembahan yang terbaik.