Tina Inap Desa
KAMPUNG AIR TAWAR, BESUT, TERENGGANU.
Hubungi kami : +6011-23086898
KAMPUNG AIR TAWAR, BESUT, TERENGGANU.
Hubungi kami : +6011-23086898
AKTIVITI DAN TEMPAT MENARIK DI SEKITAR
TINA INAP DESA
Salah satu lokasi pelancongan yang popular kepada pelancong dalam dan luar negara ialah Pulau Perhentian. Untuk ke Pulau Perhentian, anda perlu menaiki bot di Jeti Pelancongan Kuala Besut. Jeti ini terletak kira-kira 2.5 km sahaja dari Tina Inap Desa.
Pulau Perhentian merupakan salah satu pulau yang mempunyai pemandangan yang sangat indah daripada luar atau dalam pulau. Pulau ini terdiri daripada Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sini misalnya mandi manda, berenang, memancing, snorkerling, scuba dan lain-lain. Antara tarikan menarik di pulau ini ialah keindahan batu karang yang terletak di sekitar pulau.
Pantai Bukit Keluang terkenal dengan keindahan pantainya berhampiran dengan Bukit Keluang. Tempat ini adalah salah satu lokasi yang selamat untuk mandi-manda kerana ombaknya tidak terlalu besar dan pihak berwajib juga telah menyediakan had sempadan di laut supaya pengunjung tidak leka hingga hanyut ke tengah laut. Selain berkelah dan mandi-manda, pengunjung juga berpeluang menaiki banana boat. Perkhidmatan banana boat ini akan membawa pengunjung daripada Pantai Bukit Keluang ke Pulau Rhu.
Selain berkelah dan mandi manda di Pantai Bukit Keluang, anda boleh juga mendaki Bukit Keluang. Di bukit ini disediakan laluan untuk mendaki ke puncak bukit. Untuk tiba ke puncak bukit memerlukan masa kira-kira 20 ke 30 minit. Bukit Keluang yang tidak terlalu tinggi dengan ketinggian 346 meter dari paras laut adalah sangat sesuai untuk keluarga yang ingin bercuti dengan aktiviti yang santai dan mencabar. Dari puncak bukit, anda akan dapat menikmati keindahan matahari terbit atau terbenam. Anda juga akan dapat menyaksikan keindahan Pantai Bukit Keluang serta tumbuh-tumbuhan di sekitar bukit tersbut.
Tarikan yang paling hampir dengan Tina Inap Desa ialah Pantai Air Tawar. Pantai Air Tawar mempunyai pelbagai kemudahan kepada pengunjung misalnya tandas, kerusi untuk bersantai, gerai-gerai jualan dan taman permainan kanak-kanak. Keindahan laut dan Pantai AIr Tawar dan pantainya yang bersih menjadikan pantai ini suatu lokasi yang ramai pengunjung terutamanya pada hujung minggu. Terdapat pengunjung yang berkelah di bawah pepohonan di tepi pantai.
Pulau Rhu merupakan pulau yang paling dekat dengan daratan. Dengan menaiki bot daripada Pantai Bukit Keluang, ia hanya memakan masa kira-kira 7 minit sahaja. Pantai di sini selamat untuk mandi-manda kerana keadaan pantainya yang cetek. Pulau ini mempunyai pemandangan alam semulajadi yang indah dengan pantainya yang putih bersih. Pengunjung juga berpeluang mengikuti aktiviti seperti snokerling, scuba, meredah hutan, berkhemah dan memancing.
Jeti pendaratan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut terletak di seberang pekan Kuala Besut. Setiap pagi jeti ini akan meriah dengan kehadiran pengunjung yang mendapatkan ikan dan hasil laut yang segar, misalnya ikan, udang, sotong, ketam dan berbagai lagi. Harga hasil tangkapan laut di jeti ini adalah lebih murah berbanding di tempat lain menjadikannya tempat yang popular bukan sahaja kepada penduduk setempat, malahan pengunjung dari luar Besut.
Terdapat pelbagai restoren dan kedai makanan laut serta ikan bakar di sekitar Tina Inap Desa. Antaranya ialah Zul Ikan Bakar, Cucu Raja Ikan Bakar, Poksu Wei Ikan Bakar, Mie Ikan Bakar, Shellout Malika Kitchen dan pelbagai lagi. Menu yang menyelerakan termasuklah menu ikan bakar segar, sotong celup tepung, ikan goreng celup tepung, udang goreng celup tepung dan bermacam-macam menu lagi. Restoren-restoren ini menjadi tumpuan pengunjung tidak kira penduduk tempatan mahupun pengunjung dari luar.
Apabila berkunjung ke Besut tidak sah jika anda tidak berkunjung ke kedai keropok lekor. Terdapat pelbagai pilihan kedai keropok lekor dan hasil laut yang terletak di Kuala Besut dan Kampung Pachakan di sempadan Kelantan-Terengganu. Antara keropok yang dijual ialah keropok lekor, keropok keping sama ada yang ditimbang atau siap dibungkus, pelbagai sos pencicah dan bermacam-macam lagi. Di pekan Kuala Besut juga terdapat gerai-gerai yang menjual satar dan otak-otak. Jangan ketinggalan untuk membeli keropok sebagai buah tangan daripada Besut.
Masjid Lapan Kubah terletak di Kampung Lapan Kotak, Jerteh dengan jarak kira-kira 9 km dari Tina Inap Desa. Oleh kerana senibinanya seakan-akan St Basil Cathedral di Moscow, Rusia, ia turut dikenali sebagai sebagai Masjid Russia. Masjid yang terletak di kawasan perkampungan sawah padi ini merupakan antara masjid ikonik kerana menjadi tumpuan pengunjung sama ada dari dalam atau luar negeri. Keunikan senibina masjid ini adalah disebabkan terdapat lapan buah kubah kecil dengan reka bentuk yang sama dan mempunyai kombinasi warna yang berwarna-warni.
Kota Putra Square terletak di Kampung Raja, Besut. Tempat ini menjadi kunjungan pada waktu malam untuk kanak-kanak bermain permainan seperti menaiki ATV, barrel train, skuter elektrik dan pelbagai lagi. Di sini juga disediakan tandas awam dan taman permainan kanak-kanak. Terdapat juga kiosk menjual makanan di sekitar kawasan Kota Putra Square.