Sejajar dengan Pelan Pendidikan Seni Kebangsaan (PPSK) 2021-2030, seni budaya perlu diketengahkan seperti yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (2024) “Kerajaan akan memberi perhatian serius terhadap usaha mengangkat martabat seni, budaya dan sastera negara selaras ikhtiar yang digariskan dalam gagasan Malaysia MADANI”. Sehubungan dengan itu, PPSK dirancang untuk memperbanyakkan program wajib di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Penganjuran festival ini melibatkan pertandingan-pertandingan yang merangkumi semua aspek dalam seni persembahan dan pelbagai cabang bidang tari. Penglibatan murid-murid dalam festival dan pertandingan-pertandingan yang diselaraskan ini memberi pendedahan dan memupuk penghargaan terhadap seni budaya dari pelbagai bidang kesenian kepada murid peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah serta meningkatkan ilmu pengetahuan, mencungkil bakat dan memupuk penghargaan terhadap nilai-nilai kesenian bangsa sebagai teras pembentukan masyarakat berbudaya.