Apa itu Kursus Talaqqi Kitab Turath?
Talaqqi ialah metode pembelajaran dan pengajaran ilmu secara bersemuka antara murid dengan guru.
Metode talaqqi dalam sistem pembelajaran dan pengajaran ilmu agama merupakan amalan Nabi SAW bersama Jibril AS.
Ianya juga telah menjadi amalan para Sahabat RA dan generasi para ulama selepas mereka.
Keunikan metode talaqqi ialah sanad ilmu agama berserta kefahamannya yang benar sentiasa bersambung daripada generasi sebelumnya kepada generasi selepasnya tanpa putus.
Selain itu, ia juga merupakan kriteria asas bagi memelihara kesahihan dan ketulenan ilmu agama serta menjaga kefahamannya daripada disalah tafsir.
Kitab turath ialah buku warisan/pusaka tulisan para Ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah terdahulu yang bersambung sanadnya kepada Nabi SAW. Ia juga dinamakan dengan kitab kuning kerana material kertasnya pada masa dahulu berwarna agak kekuningan.
Kandungan atau teksnya merupakan rumusan yang telah diperah daripada sumber-sumber hukum yang disepakati dan disusun berpandukan disiplin yang ketat untuk generasi terkemudian (khususnya umat Islam hari ini) mudah memahami tuntutan agama dan beramal.
Metode talaqqi berpandukan silabus kitab turath juga diamalkan dalam sistem pengajian pondok di alam Melayu sejak sekian lama.
Sistem ini terbukti telah berjaya memberi ilmu dan kefahaman yang mendalam dalam kalangan para pelajarnya serta telah melahirkan ramai ulama.
Bersumberkan fakta sejarah yang telah membuktikan bahawa metod pengajian talaqqi berpandukan silabus kitab turath warisan Ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah sangat berjasa dalam pembinaan kehidupan beragama umat Islam, seterusnya bagi mendepani cabaran hidup beragama hari ini, maka pihak Program Pengajian Ikhtisas, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dengan kerjasama Akademi Talaqqi Kitab Turath telah berusaha mengangkat warisan ini untuk ditawarkan program pengajian dengan gabungan modul kitab turath dan modul Islam di Malaysia serta gabungan kepakaran tenaga pengajar pondok dan ahli akademik dalam sistem pengajian universiti.
Setelah melalui proses dalam urusan pentadbiran universiti yang agak panjang, alhamdulillah program pengajian ini telah mendapat kelulusan Universiti Malaya pada 8 Februari 2023.
Program pengajian yang diberi nama Kursus Talaqqi Kitab Turath ini adalah program pembelajaran dan pengajaran ilmu fardu ain silabus kitab turath (tahap pertengahan dan tinggi) warisan Ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah yang diangkat menjadi kurikulum kursus dalam sistem pengajian universiti.
Kursus Talaqqi Kitab Turath ini terbuka kepada masyarakat awam yang ingin merasai pengalaman mendalami ilmu agama berteraskan kurikulum kitab turath dalam sistem pengajian universiti. Kuliah akan disampaikan oleh pensyarah universiti dan tenaga pengajar lulusan pondok yang dilantik oleh Universiti Malaya.
Universiti Malaya juga membuka pintu kerjasama kepada pihak-pihak luar yang berminat untuk menawarkan program pengajian ini di tempat mereka. Kerjasama ini tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui bersama.