PERHIMPUNAN
Ahli hendaklah berhimpun di suatu tempat pada masa dan tarikh yang ditetapkan dalam Notis Mesyuarat.
BAHASA RASMI
Komunikasi semasa mesyuarat adalah digalakkan dalam Bahasa Malaysia manakala minit mesyuarat disediakan dalam Bahasa Malaysia.
PENGERUSI MESYUARAT
Pengerusi adalah sebagaimana ditetapkan dalam perlembagaan persatuan.
KUORUM
Kuorum mesyuarat adalah sebagaimana ditetapkan dalam perlembagaan persatuan.
MINIT MESYUARAT AGUNG YANG LALU
Minit mesyuarat yang lalu akan diedarkan dan dibawa untuk pengesahan. Ahli boleh bertanya sekadar mendapat penjelasan sahaja dan perbahasan terhadapnya tidak dibenarkan.
SETIAUSAHA MESYUARAT
Mesyuarat Agung boleh melantik seorang Setiausaha untuk mencatat perjalanan mesyuarat dan beliau perlu menyerahkan minit mesyuarat kepada Setiausaha dalam tempoh yang ditetapkan.
HAK-HAK AHLI
Ahli mempunyai hak untuk bercakap, menyuarakan pendapat, pandangan, cadangan, sokongan dan mengundi atas sesuatu perkara yang dibincangkan dalam agenda mesyuarat.
LAPORAN TAHUNAN
Laporan tahunan hendaklah diberikan keutamaan dari lain-lain perkara. Sesuatu syor boleh dibuat terhadap mana-mana perkara dalam laporan tersebut dan ia hendaklah dibuat dengan persetujuan Pengerusi.
TERTIB BERCAKAP
9.1 Ahli yang ingin bercakap hendaklah bangun berdiri untuk sedia untuk dipanggil giliran oleh Pengerusi.
9.2 Ahli tidak boleh mengganggu ahli lain yang sedang bercakap, kecuali untuk tujuan memberi teguran atas perkara-perkara yang munasabah.
9.3 Pengerusi boleh mengarahlan ahli untuk bertenang, beredar atau meninggalkan mesyuarat, sekiranya terdapat ahli yang bercakap kasar, biadap, menggugat keharmonian atau engkar mematuhi peraturan mesyuarat.
9.4 Apabila sesorang ahli sedang bercakap, ahli lain hendaklah diam dan tidak membuat gangguan.
HAD MASA BERCAKAP
Pembawa usul atau pindaan tidak dibenarkan bercakap lebih daripada tempoh lima minit, kecuali mendapat kebenaran/laluan bicara oleh Pengerusi.
ISI-ISI UCAPAN
11.1 Ahli hendaklah menghadkan percakapan kepada perkara yang dibincangkan sahaja dan tidak boleh mengeluarkan apa-apa yang tidak ada kaitan dengan perkara yang dibincangkan.
11.2 Perkara-perkara yang berkait dalam timbangan mahkamah adalah tidak boleh disebut.
11.3 Sesorang ahli tidak boleh menggunakan bahasa biadab dan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat terhadap ahli yang lain.
11.4 Nama, kelakuan dan sifat Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung atau nama DYMM Raja-Raja Melayu atau Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak tidak boleh digunakan bagi mempengaruhi keputusan mesyuarat.
11.5 Seseorang ahli yang bercakap tidak boleh menggunakan perkataan-perkataan derhaka kepada negeri, membangkitkan perasaan melawan kuasa Kerajaan dan perkataan-perkataan yang boleh menaikkan perasaan sakit hati dan permusuhan di antara kaum di Malaysia.
USUL
12.1 Sebarang cadangan pertama di dalam satu perkara itu akan dikenali sebagai "Usul Asal" dan semua cadangan mengenai perkara yang sama dikenali sebagai "Pindaan".
12.2 Tiap-tiap usul atau pindaan-pindaan kepadanya hendaklah ada pencadang dan penyokongnya dan hendaklah dibentangkan secara bertulis.
12.3 Tiap-tiap usul yang hendak dimasukkan ke dalam agenda mesyurat hendaklah dihantar secara bertulis kepada Setiausaha sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum Mesyuarat Agung diadakan.
12.4 Setiap ahli yang ingin menarik balik atau mengubah atau meminda isi-isi sesuatu usul yang dibuat olehnya boleh berbuat demikian dengan memberitahu secara bertulis berkenaanya kepada Setiausaha sebelum tarikh Mesyuarat Agung. Tetapi disyaratkan pindaan itu pada pertimbangan Pengerusi tidak mengubah asas atau tujuan yang terkandung dalam usul asal.
CADANGAN DAN SOKONGAN
13.1 Sesuatu usul atau pindaan tidak boleh dibincangkan atau dibahas sehingga ia mendapat sokongan. Jika tiada sokongan, usul atau pindaan itu gugur dengan sendirinya.
13.2 Sesorang ahli tidak boleh mencadang atau menyokong lebih dari sekali sesuatu usul atau pindaan usul dan tidak mengemukakan (mencadangkan) atau menyokong pindaan lain kepada usul tersebut.
PINDAAN
Jika sebarang pindaan dikemukakan dan disokong terhadap sesuatu usul, pindaan selanjutnya tidak boleh dibuat sehingga pindaan terdahulu itu dibatalkan. Apabila pindaan kepada usul tersebut diisytiharkan, usul yang dipinda menjadi usul asal.
HAK MENJAWAB
15.1 Pembawa usul (termasuk pembawa pindaan yang menjadi usul asal) mempunyai hak untuk menjawab dengan syarat ia hendaklah menjawab kepada ucapan yang dibuat olehnya terdahulu. Perkara-perkara baharu tidak boleh dibangkitkan. Selepas menjawab, usul hendaklah diundi dengan segera untuk mendapatkan suara majoriti ahli-ahli yang hadir.
15.2 Jika usul asal telah diganti dengan pindaan, hak menjawab diberikan kepada pembawa pindaan.
PENGUNDIAN
16.1 Semua perkara hendaklah diputuskan dengan kelebihan undi kecuali perkara-perkara berkaitan dengan pindaan perlembagaan persatuan. Jika undi sama banyak, perkara yang dibincangkan disifatkan kalah. Pengerusi tiada undi muktamad.
16.2 Pengerusi mesyuarat tidak boleh mengundi berkenaan sebarang perkara mengenai dirinya sendiri.
16.3 Cara mengudi hendaklah sebagaimana ditetapkan oleh perlembagaan persatuan.
KUASA PENGERUSI MESYUARAT DAN TERTIB DALAM MESYUARAT
17.1 Sesuatu perkara yang berbangkit hanya mengenai prosedur. maka proses pengundian untuk membuat keputusan adalah tidak diperlukan. Adalah memadai dengan keputusan Pengerusi sahaja. Sekiranya perkara yang dibincangkan melibatkan perkara hakiki (substantive), maka keputusan hendaklah dibuat secara pengundian.
17.2 Jika Mesyuarat Agung membincangkan sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan Pengerusi, maka mesyuarat hendaklah dipengerusikan oleh seorang yang lain sehingga keputusan dibuat. Dalam hal ini, prinsip "natural justice" hendaklah digunapakai.
17.3 Jika berlaku kekacauan besar dan di luar jangka dalam mesyuarat, Pengerusi boleh, jika pada pandangannya wajar, menangguhkan menyuarat tanpa perlu meminta keputusan mesyuarat selama yang ditetapkan olehnya.
17.4 Ahli dan ahli jawatankuasa persatuan dari semasa ke semasa boleh mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Agung bagi meminda mana-mana peruntukan Etika dan Tertib Mesyuarat ini.
Dikemaskini pada 16 Jun 2024