Assalamualaikum w.b.t
Salam SMeS Yakin Boleh Yakin Hebat
Saya ingin mengambil kesempatan untuk meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi, kerana berpeluang menjadi tonggak utama SMeS.
Mengimbas kembali kewujudan Portal Kurikulum SMeS ini, pada awalnya platform ini diwujudkan rentetan pandemik COVID-19 yang melanda negara. Pelantar Ilmu SMK Serendah atau dikenali sebagai PISMeS ini menjadi satu jalan penyelesaian dan pemudah cara bagi guru berkongsi nota dan tugasan manakala murid pula menggunakan bahan yang disiarkan secara maksimum ketika itu.
Tamatnya era pandemik, PISMeS masih relevan sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2021-2025). Platform ini terus digunakan oleh murid dari kelas Peralihan hingga Tingkatan 5. Murid boleh mengakses platform ini semasa cuti hujung minggu sambil membuat ulang kaji. Melalui Program Peningkatan Keunggulan Akademik Sekolah (PKAS), PISMeS digunakan secara aktif semasa cuti sekolah sebagai Modul Terancang Cuti Sekolah, Kit Cuti Sekolah mahupun Pakej Bijak Cuti.
Tidak dapat dinafikan, platform ini dilihat selaras dengan Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan Malaysia yang berhasrat untuk menyampaikan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti dan mempersiapkan guru dan murid ke arah pendigitalan. Justeru, besar harapan saya agar Pelantar Ilmu SMK Serendah (PISMeS) digunakan secara maksimum untuk membantu kecemerlangan murid.
Sekian, terima kasih.
MOHAMED AZHAR BIN MOHD HASBI
PENGETUA
SMK SERENDAH
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana dengan izin dan rahmat-Nya , saya berkesempatan untuk menulis sepatah dua kata dalam ruangan Sekapur Sirih Seulas Pinang - Pelantar Ilmu SMeS (PISMeS). Terlebih dahulu tahniah diucapkan kepada Unit Kurikulum, Unit ICT dan semua guru SMK Serendah yang telah bersama-sama berganding bahu merealisasikan kewujudan sebuah platform untuk memperkasakan pembelajaran murid.
Kita semua maklum bahawa pendidikan merupakan antara sektor yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun 2020. Apabila sekolah diarahkan untuk ditutup bagi membantu pembendungan wabak tersebut, pastinya pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di sekolah tidak dapat dilaksanakan. Justeru, selari dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkasakan proses Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), sekolah komited untuk terus menyediakan akses pendidikan kepada semua murid SMeS bagi membolehkan kelangsungan anak-anak murid mendapat pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan.
Lantaran itu, sekolah mengambil inisiatif untuk membangunkan Pelantar Ilmu SMeS (PISMeS) untuk membantu murid mendapatkan pelbagai bahan bantu belajar seperti buku teks digital, nota tambahan, set soalan latih tubi, modul, koleksi soalan peperiksaan dan pelbagai lagi secara dalam talian di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Hal ini demikian, Pelantar Ilmu SMeS (PISMeS) bukan sahaja membolehkan murid terus dapat menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara lebih berstruktur dan terancang malah juga dapat memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.
Sudah tentu segala usaha ini memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pihak iaitu murid , guru dan juga ibu bapa. Marilah kita semua bersatu hati melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan tiada anak-anak murid yang keciciran dalam proses menuntut ilmu. Mereka merupakan aset masa depan dan generasi pewaris negara.
Akhir sekali, sangat besar harapan saya agar Pelantar Ilmu SMeS (PISMeS) akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak murid. Semoga anak-anak dikurniakan kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran juga kehidupan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
TUAN HAJI ABDUL KARIM BIN IHWAN
PENGETUA
SMK SERENDAH
Assalamualaikum w.b.t, Salam SMeS.
Setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Illahi, kerana diberikan kesempatan untuk saya menerajui SMK Serendah.
Dengan wujudnya Portal Kurikulum SMeS ini, diharapkan dapat memberikan impak yang positif demi menjana minda para guru dan murid-murid yang unggul. Sejajar dengan melangkah ke Gelombang ke-3 (2021-2025) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menuntut warga pendidik beranjak ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi. Justeru sebagai peneraju sekolah ini, saya menyeru agar kita sentiasa dapat sama-sama berfikiran positif, berdaya saing dan mengekalkan prestasi membawa amanah dalam mendidik anak bangsa menjadi pelajar dan manusia yang berjaya di dunia dan di akhirat.
Harapan saya, semoga SMK Serendah menjadi Sekolah Harian Unggul di Daerah Hulu Selangor.
Sekian, terima kasih.
SUHAIME BIN MOHD
PENGETUA
SMK SERENDAH
DASAR KURIKULUM SMeS 2025
Kurikulum merupakan bidang dan tugas asas bagi setiap guru yang bertugas di sekolah. Kejayaan sesebuah sekolah di negara ini lazimnya ditentukan oleh pencapaian murid dalam bidang kurikulum atau akademik. SMK Serendah yang kini berada dalam kategori sekolah band 5, adalah dalam kelompok yang sama dari segi prestasi akademik dengan kebanyakan sekolah menengah di Hulu Selangor. Dasar Kurikulum ditetapkan sebagai asas dan garis panduan pengurusan akademik amat perlu dimantapkan lagi supaya pencapaian murid sekolah ini meningkat dalam jangka masa 2021-2025. Semua elemen yang terkandung dalam Dasar Kurikulum SMK Serendah adalah berdasarkan SPI, garis panduan dan arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.