PENDAHULUAN
Kegiatan Kokurikulum Sekolah merangkumi tiga aktiviti utama iaitu Kelab/Persatuan, Pasukan Badan Beruniform dan Sukan/Permainan. Penyertaan dalam ketiga-tiga kegiatan ini merupakan sebagaian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah seperti termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997, berkuatkuasa 1 Januari 1998 (Akta Pendidikan 1996 – Seksyen 18 dan 30). Kepentingan aktiviti ini juga setara dengan aktiviti kurikulum dalam bilik darjah kerana peranannya sebagai penyumbang dan pelengkap kepada pengajaran dan pembelajaran murid serta pembentukan modal insan (murid) secara menyeluruh yang meliputi aspek kognitif, afektif dan psikomotor .
FORMAT PAJSK Terbahagi kepada tiga komponen :
KOMPONEN 1 : SEGAK
KOMPONEN 2 : KOKURIKULUM
KOMPONEN 3 : EKSTRA KURIKULUM
UJIAN SEGAK
SEGAK adalah satu set Ujian Standard Kecergasan Fizikal untuk mengukur tahap kecergasan fizikal murid berasaskan kesihatan. Komponen kecergasan yang diukur dalam SEGAK terkandung dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani Sekolah Rendah dan Menengah. Ujian ini hendaklah ditadbir urus oleh Guru Pendidikan Jasmani dan dilaksanakan dalam bulan Mac dan Ogos. Sila rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.2/2016: Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah bertarikh 17 Februari 2016.
KOKURIKULUM
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mei 2005 telah memutuskan, setiap murid wajib mengikuti tiga aktiviti kokurikulum seperti berikut:
i. Kelab/Persatuan
ii. Pasukan Badan Beruniform; dan
iii. Sukan/Permainan
EKSTRA KURIKULUM
Ekstra kurikulum merupakan satu kegiatan sukarela yang bermanfaat pada atau di luar waktu persekolahan, ke arah pembentukan peribadi yang terpuji.