SEJARAH SEKOLAH
SK RANGGU , TAWAU adalah salah sebuah sekolah luar bandar yang terletak kira-kira 16KM dari bandar Tawau. Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1973. Sejak penubuhannya 47 tahun yang lalu , SK Ranggu telah mengalami banyak perubahan besar bukan hanya dari segi pertambahan bilangan murid tetapi juga mengalami banyak pertambahan prasarana pembangunan pendidikan yang pesat sejajar dengan pembangunan negara ke arah Pendidikan Abad Ke-21 (PAK21).
SK Ranggu adalah sekolah yang beridentitikan keindahan persekitaran. Bersesuaian dengan namanya yang berasal daripada nama sepohon kayu iaitu ‘Pokok Ranggu’ sekolah ini amat mementingkan persekitaran yang hijau untuk lebih menceriakan pemandangan , pemikiran dan minda murid-murid ke arah menimba ilmu dengan lebih berkesan. Selain dari itu sekolah ini juga mempunyai keunikannya tersendiri ia adalah salah sebuah sekolah yang mempunyai sebatang sungai yang merentangi kawasan sekolah dan yang menjadi landskap utama sekolah ini. Dengan adanya rentangan dan aliran sungai di tengah-tengah kawasan tersebut telah menampakkan suatu keceriaan yang sangat menarik perhatian bagi sesiapa yang mengunjungi sekolah ini.
SK Ranggu yang dahulunya hanya memiliki sebuah bangunan dan sebuah rumah guru , kini telah berubah wajah di mana bilangan bangunan kini telah bertambah iaitu 5 blok bangunan yang mengandungi 12 bilik darjah disamping dengan pertambahan 3 buah bilik darjah baru yang sedang di dalam proses pembinaan dan dijangka akan siap dalam tempoh dua bulan dari sekarang. Sementara itu 1 blok pentadbiran yang mengandungi sebuah pejabat, bilik pentadbiran Guru Besar, Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Kokurikulum, Penolong Kanan Petang, bilik guru, Bilik Pusat Sumber Sekolah dan bilik Sains serta Pusat Akses Sekolah. Sebuah bangunan Pra Sekolah juga telah beroperasi pada awal tahun 2004. Selain daripada itu sebuah kawasaan lapang telah dinaiktarafkan menjadi sebuah dewan terbuka berbumbung dan ianya dijadikan sebagai tapak perhimpunan rasmi sekolah dan juga untuk kegunaan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan.
Dari tahun ke setahun SK Ranggu terus maju selaras dengan perkembangan pendidikan di negara ini Pada tahun 1996 sekolah ini telah dinaiktarafkan ke sekolah ‘Gred A’ luar bandar dan telah melaksanakan dua sesi persekolahan iaitu sidang pagi dan petang. Sehingga kini bilangan murid di sekolah ini telah mencecah seramai 659 orang murid dan mempunyai seramai 44 orang tenaga pengajar dan 4 orang kakitangan pentadbiran .
Dari segi kemajuan dan pencapaian dalam peperiksaan awam , SK Ranggu juga adalah salah sebuah sekolah yang terbaik pencapaiannya dalam Peperiksaan UPSR dan sekolah ini pernah meletakkan dirinya dalam senarai 10 sekolah terbaik UPSR Daerah Tawau. Dalam waktu yang sama pencapaian kokurikulum sekolah ini tidak kurang juga hebatnya.
Pada keseluruhannya , bolehlah dikatakan bahawa SK Ranggu adalah salah sebuah sekolah yang mempunyai prestasi akademik yang baik dan membanggakan dan adalah menjadi harapan warga sekolah ini agar kemajuan pendidikan akan terus dilaksanakan sebaik yang mungkin selaras dengan visi sekolah ini ‘Kecemerlangan Dalam Semua Aspek Pendidikan'.