SEJARAH

SEKOLAH KEBANGSAAN GALI

27400 DONG, RAUB, PAHANG DARUL MAKMUR

1906 :

Sekolah ini mula dibuka pada 16 September 1906 di atas tanah kepunyaan asal Raidah binti Panglima Raja. Nama Sekolah Kebangsaan Gali diambil sempena dengan kedudukannya yang terletak di tengah antara Kampung Gali Hilir dan Kampung Gali Tengah. Bilangan murid adalah seramai 12 orang yang mana kesemuanya terdiri daripada murid-murid lelaki sahaja. Guru Besar yang pertama ialah Tuan Haji Sulaiman bin Sutan Piara. Beliau berasal dari Sumatera Barat yang berhijrah ke Kajang, Selangor. Sebelum itu, beliau merupakan Guru Besar di Sekolah Melayu Raub.

Bangunan sekolah adalah daripada tiang kayu bulat, berdinding separuh papan dan beratap daun sagu. Murid-murid sekolah berpakaian bebas, bersongkok dan tanpa berkasut. Matapelajaran yang diajar adalah menulis, membaca jawi, membaca rumi, mengira, pekerjaan tangan (anyaman) dan berkebun.

1907 :

Dibina baru dengan menggunakan tiang batu, atap bata dan dinding papan.

1920 :

3 buah bilik tambahan telah dibina bersambung dengan bangunan sedia ada. Bilangan guru bertambah menjadi 3 orang.

1924 :Sebuah bangunan baru telah dibina berasingan tetapi bersebelahan bangunan sedia ada. Bangunan ini berasal dari bangunan Sekolah Melayu Tras yang dibongkarkan dan kemudiannya telah dipasang semula di tapak ini.

1930-an :

Sekolah Kebangsaan Ulu Gali dibawa bergabung dengan Sekolah Kebangsaan Gali kerana ketika itu Sekolah Kebangsaan Ulu Gali hanya mempunyai 5 orang murid sahaja.

1962 :

Bangunan yang mempunyai 4 bilik darjah telah dibina bagi menggantikan yang ada. Perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Dato’ Abdul Rahman bin Talib, Menteri Pelajaran pada ketika itu.

1967 :

Tapak sekolah ini diukur semula. Keluasannya adalah 3a.3r.21p.

1980 :

Bangunan yang telah dibina pada tahun 1924, telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baru.

1982 :

Bangunan baru ini dirasmikan oleh Dr. Tan Tiong Hong, Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu, serentak dengan Sambutan Jubli Intan Sekolah Kebangsaan Gali pada 14 November 1982.

2001 :

Terdapat seramai 302 orang murid, 21 orang guru dan 8 orang kakitangan sokongan yang terdiri daripada seorang pembantu tadbir, seorang Pembantu Am Rendah, 3 orang Pekerja Rendah Awam, seorang Pembantu Pra Sekolah dan 2 orang Jaga swasta.

Dengan kewujudannya hampir 96 tahun, sekolah ini telah mengalami banyak perubahan yang dinamik dari segi kualiti pendidikan, fizikal dan iklim persekolahan. Perubahan pesat berlaku seiring dengan hasrat kerajaan yang mengutamakan pemantapan pendidikan.

2002 :

Bangunan baru 4 tingkat mula dibina (bangunan yang kini menempatkan Dewan Terbuka, Makmal Sains, Bilik Kemahiran Hidup, Bilik Pendidikan Seni dan Tandas Guru Lelaki (tingkat bawah).

Pejabat Sekolah, Bilik Guru, Bilik Rawatan, Bilik Pengawas, Bilik Bimbingan, Bilik SPBT dan Tandas Guru Wanita (tingkat 1) ; bilik-bilik darjah (tingkat 2) dan Surau Sekolah, Bilik Muzik serta bilik-bilik khas pembelajaran (tingkat atas).

2003 :

Bangunan tersebut siap dibina.

2004 :

Penyerahan bangunan baru ini berlaku di antara kontraktor bangunan dengan Jabatan Kerja Raya mewakili Pejabat Pelajaran Daerah Raub pada 15 April 2004. Pegawai Pelajaran Daerah Raub ketika itu adalah Encik Abd Aziz bin Abd Latiff (kini Dato’, mantan Pengarah Pelajaran Pahang yang bersara wajib pada Disember 2010).

2008 - 2010 :

Bermula pada April 2008 hingga 9 Januari 2011, kepimpinan Sekolah Kebangsaan Gali diterajui oleh En.Osman bin Haji Ibrahim PKC.,PPN. yang memiliki kewibawaan yang sangat tinggi. Walaupun baru melangkau 2 tahun lebih memimpin sekolah ini, beliau berjaya melonjakkan prestasi sekolah ke tahap yang cemerlang. Pada tahun 2010 iaitu usia sekolah ini menjangkau 104 tahun, pencapaian sekolah ini berada di ranking yang sangat tinggi iaitu peratus lulus UPSR adalah 93.55% (ulung-ulung kali), 5 orang murid mendapat 5A (daripada 31 orang murid), Gred Purata Sekolah 1.77 (Cemerlang) dan berada dalam kelompok 78 buah sekolah terbaik peringkat kebangsaan (berbanding lebih dari 7770 buah sekolah rendah). Kejayaan ini hasil komitmen tinggi yang dicetuskan daripada semua pihak yang terdiri daripada warga kerja sekolah, pentadbiran daerah, komuniti masyarakat dan ibubapa murid-murid serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang dipimpin oleh En.Sidek bin Ismail.

2011 :

Kejayaan ini menyaksikan Sekolah Kebangsaan Gali telah mencapai Visi dan Misi Sekolah iaitu Menjadi Sekolah Cemerlang Di Daerah Raub dan Negeri Pahang pada 2010. Justeru itu, kerangka Visi dan Misi Sekolah yang baru telah diwartakan pada tahun 2011 iaitu Sekolah Kebangsaan Gali Menjulang Kegemilangan Peringkat Nasional Pada Tahun 2015 dengan Motto Sekolah yang dahulunya, Seronok Bekerja Bekerja Seronok diubah kepada Sederap Melangkah Ke Arah Kecemerlangan.

Sejarah manis sekolah dipahat lagi dengan kehadiran YB Dr Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, sempena Majlis Seri Kasih pada hari Khamis 6 Januari 2011 bagi merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke 28 dan meraikan persaraan Guru Besar yang disanjungi, Encik Osman bin Haji Ibrahim PKC.,PPN. yang bersara wajib pada 9 Januari 2011.

Dalam majlis ini juga Sekolah Kebangsaan Gali diumumkan mendapat peruntukan RM40,000 bagi pembinaan laluan gajah menyusur dan RM400,000 lagi bagi pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke 10. Pada hari terakhir Encik Osman berkhidmat di sekolah ini (Jumaat 7 Januari 2011), beliau diraikan pula oleh warga sekolah dalam Majlis Pautan Jiwa. Perarakan kepergian beliau meninggalkan sekolah dan perkhidmatan awam turut dihadiri oleh Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Raub, Tuan Haji Karim bin Man SMP.

Kini :

Kini, Sekolah Kebangsaan Gali dengan murid-murid yang datang dari Kampung Gali Hilir, Kampung Gali Tengah, Kampung Sungai Pasu dan Taman Perumahan Awam Kos Rendah yang berdekatan dan dari latar belakang sosio-ekonomi yang pelbagai seperti anak kakitangan kerajaan, pekerja kilang, peniaga, petani dan lain-lain, bertekad meneruskan kecemerlangan dalam semua aspek.

Sekolah Kebangsaan Gali terus berdiri mantap menyelusuri perkembangan era terkini. Perubahan pesat dunia pendidikan menyaksikan Sekolah Kebangsaan Gali proaktif bergerak seiring dengan hasrat kerajaan untuk menggenggam kemajuan dan kecemerlangan pendidikan.

Sesungguhnya segala rezeki dan rahmat adalah anugerah Allah SWT. Semoga Sekolah Kebangsaan Gali sentiasa unggul menempuh segala cabaran pendidikan bagi merealisasikan sasaran, matlamat dan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.