Bidang Ensembel Vokal memberi tumpuan kepada murid menguasai pengetahuan dan kemahiran bernyanyi secara ensembel. Menerusi kurikulum ini, murid berpeluang untuk menyanyikan pelbagai genre lagu.
Bidang Teori Muzik memberi tumpuan kepada peningkatan pengetahuan dan penguasaan kemahiran membaca dan menulis notasi muzik secara konvensional. Setiap pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh akan diaplikasikan oleh murid semasa aktiviti muzik seperti memainkan alat muzik, bernyanyi dan penghasilan muzik.
Bidang Muzik, Budaya dan Masyarakat memberi peluang kepada murid untuk menghayati dan menghargai pelbagai genre muzik dengan memberi tumpuan kepada aktiviti mendengar secara aktif dan seterusnya dapat memberi ulasan secara kritis secara lisan dan bertulis. Menerusi kuikulum ini juga, murid dapat memberi ulasan berkaitan muzik yang didengar secara intelektual dengan mengaplikasi pengetahuan muzik serta dapat mengaitkan muzik tersebut dengan budaya dan masyarakat hari ini.
Bidang Ekspresi Kreatif memberi peluang murid melahirkan idea kreatif untuk menghasilkan karya menggunakan perisian muzik. Murid juga berpeluang untuk mengaplikasikan semua pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari dalam permainan alat muzik, nyanyian, apresiasi muzik dan teori muzik semasa menghasilkan karya. Mereka juga berpeluang untuk mempersembahkan hasil karya mereka semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Bidang Alat Muzik Utama memberi tumpuan kepada penguasaan murid memainkan alat muzik secara solo. Setiap murid diwajibkan menguasai satu alat muzik sebagai alat muzik utama. Setiap kurikulum alat muzik yang dipilih memberi fokus kepada penguasaan kemahiran alat muzik tersebut. Menerusi kurikulum ini, murid dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran notasi muzik kerana setiap kemahiran yang perlu dikuasai melibatkan pembacaan notasi muzik. Selain itu, murid juga berpeluang untuk membuat persembahan secara solo yang bertujuan untuk mempamerkan penguasaan kemahiran terhadap alat muzik yang dipilih serta membina keyakinan diri mereka.