MEREKA BENTUK DAN MENGHASILKAN
PEMBUNGKUSAN BAGI TIN MINUMAN
TEH TIGA LAPIS SARAWAK
MEREKA BENTUK DAN MENGHASILKAN
PEMBUNGKUSAN BAGI TIN MINUMAN
TEH TIGA LAPIS SARAWAK
Tema projek tahun akhir pada kali ini ialah negeri-negeri di Malaysia. Tema utama yang dipilih adalah negeri Sarawak. Projek ini bertujuan untuk mereka bentuk dan menghasilkan pembungkusan dan label tin bagi minuman teh tiga lapis Sarawak. Oleh itu, elemen-elemen budaya dan warisan Sarawak akan diterapkan dalam reka bentuk yang merangkumi label tin minuman, kotak pembungkusan, dan juga item identiti korporat seperti rak pameran, dan gegantung (bunting). Aspek utama yang diberi penekanan dalam reka bentuk pembungkusan ini adalah kos, logistik, serta kebolehgunaan bagi memastikan produk yang dihasilkan berfungsi dengan efektif dan efisien dan juga mempunyai dwifungsi. Projek Tahun Akhir ini dilaksanakan melalui kolaborasi strategik antara Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai dengan dua syarikat utama, iaitu Kian Joo Can Factory Bhd dan Box-Pak (M) Sdn Bhd.
Antara cabaran utama yang dikenalpasti dalam pembungkusan tin minuman yang terdapat di pasaran ialah tiada reka bentuk label dan pembungkusan yang mempunyai pemegang bagi produk ini. Ketiadaan pemegang menimbulkan kesukaran dari segi kemudahan penggunaan dan ergonomik. Di samping itu, kotak pembungkusan di pasaran tiada ciri inovasi, di mana ia berpotensi untuk meningkatkan nilai kegunaannya seperti menambah fungsi tambahan yang boleh memberikan lebih manfaat kepada pengguna. Selain itu, terdapat kekurangan dalam pasaran untuk produk air minuman variasi 4 dalam 1, yang menunjukkan ruang inovasi yang belum diterokai untuk memenuhi permintaan pengguna yang lebih luas.
i. Mereka bentuk label tin dan kotak pembungkusan yang dilengkapi dengan pemegang bagi produk teh tiga lapis Sarawak.
ii. Menghasilkan kotak pembungkusan yang mempunyai ciri inovasi yang mempunyai fungsi tambahan sebagai rak produk penjagaan kulit.
iii. Mencetak kotak pembungkusan bagi minuman tin yang menawarkan variasi 4 dalam 1, bagi memenuhi permintaan pasaran dan menyediakan pilihan produk yang lebih efisien kepada pengguna.
i. Kotak pembungkusan yang direka dengan pemegang yang mudah dibawa menjadikannya lebih praktikal.
ii. Pembungkusan inovatif yang berkonsepkan sebagai rak produk penjagaan kulit dapat meningkatkan nilai kebolehgunaan produk, tetapi juga menyumbang kepada amalan kelestarian melalui penggunaan semula bahan.
iii. Pembungkusan ini dapat menyahut seruan United Nation di dalam Sustainables Development Goals iaitu SDG12.
iv. Projek ini juga berupaya menawarkan produk minuman yang menyediakan empat variasi citarasa berbeza dalam satu pembungkusan, memberikan pilihan yang lebih luas kepada pengguna dan memenuhi keperluan pasaran yang lebih pelbagai.
Skop projek merujuk kepada had dan batasan yang munasabah serta mengenalpasti elemen-elemen yang berkaitan dengan pelaksanaan projek. Skop projek berfungsi sebagai panduan untuk membuat keputusan dan memastikan kelancaran setiap proses projek.
Dalam skop kerja bagi projek ini, pembungkusan yang dihasilkan dibincangkan secara terperinci. Antara ciri-ciri pembungkusan tersebut adalah seperti berikut: saiz kotak pembungkusan direka dengan dimensi 117mm x 122mm x 160mm. Seterusnya, label tin minuman berukuran 187mm x 142mm, untuk tin berisipadu 355ml. Reka bentuk grafik pembungkusan ini bertemakan elemen-elemen yang mempromosikan negeri Sarawak, sejajar dengan tema yang dipilih. Bahan yang digunakan untuk pembuatan kotak ini adalah kertas corrugated jenis E-flute dan duplex, yang memberikan kekuatan dan ketahanan yang sesuai. Pembungkusan ini direka khas untuk tujuan penjenamaan bagi syarikat Kian Joo Can Factory dan Box-Pak (M) Sdn Bhd.