Dari segi perkataan, takaful diambil daripada perkataan arab iaitu ‘kafala’ yang bermaksud menjaga atau menjamin keperluan seseorang. Ini bermaksud permuafakatan antara dua pihak atau lebih, bersetuju untuk saling menjamin antara satu sama lain sekiranya berlaku kerugian disebabkan bencana atau musibah.
Itu definasi kepada apa itu takaful. Secara mudahnya takaful ini macam khairiat kematian. Duit dikumpul oleh setiap ahli. Sekiranya berlaku kematian, jadi duit tersebut akan digunakan untuk proses pengurusan jenazah serta pengebumian. Konsep yang sama tapi lebih luas skop yang ditanggung dan terbuka kepada bukan tertakluk pada satu kawasan atau kumpulan sahaja.
Syarikat takaful menjalankan satu bentuk perniagaan yang bertujuan untuk memberikan jaminan yang berlandaskan Syara’ iaitu terhindar daripada unsur-unsur yang tidak sepatutnya ada dalam sistem islam iaitu Riba (bunga), Maisir (perjudian) dan Gharar(ketidakpastian). Untuk memastikan perniagaan ini tidak terlibat dengan unsur-unsur tersebut, pemilik syarikat Takaful menggantikannya dengan konsep Tabarru’ (derma) dan perjalanan operasinya menggunakan dua konsep muamalah Islam iaitu konsep “Mudharabah” dan “Wakalah”.