Tn. M. K. Fuad Hj. Che Ab. Razak [Che E]
Perunding Motivasi
Che E, perunding motivasi dengan lebih 20 tahun pengalaman di Asas Insan Resources & Training, syarikat perunding latihan, motivasi dan kaunseling yang diasaskannya pada 2004.
Che E telah mengendalikan pelbagai segmen program latihan dan motivasi untuk jabatan kerajaan, kementerian, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi dan sekolah. Tidak terkecuali badan bukan kerajaan, masjid, pusat serenti dan badan politik. Beliau telah membimbing lebih 30 ribu orang peserta sejak 2004 di seluruh negara termasuk negara jiran Brunei Darussalam.
Pengalaman berinteraksi dengan ribuan peserta sebagai perunding motivasi, mengurus pelbagai kes kaunseling, mengurus hal-ehwal masyarakat sebagai aktivis komuniti dan mengendali kes-kes mahkamah seperti rasuah, dadah, rogol, bunuh, muflis, perceraian dan macam-macam lagi, memberi Che E kelebihan untuk memerhati, mempelajari dan memahami tabiat, sikap serta persepsi manusia dalam menghadapi pelbagai situasi hidup.
Graduan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini pernah bertugas sebagai peguam, peguam syarie dan telah berumahtangga lebih 25 tahun. Kerap bercanda dengan isteri dan anak-anak, luang masa bersama kedua orang tua, berkebun, bantu mengemas surau dan mengajar mengaji, itu antara cara beliau mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Beliau juga menulis.
Che E merupakan pengamal bertauliah Pengujian Psikologi Sidek (SPT). Beliau kini menumpu usaha membantu masyarakat melalui program-program motivasi pembangunan diri di pusat latihan beliau di Nilai, Negeri Sembilan.
Beliau sedar ramai pasangan suami isteri perlukan bimbingan dan motivasi untuk hangatkan kembali kemesraan mereka tetapi sukar mencari 'tempat untuk dirujuk' di luar sana.
Beliau menyusun program ini agar boleh dimanfaatkan oleh pasangan suami isteri untuk meneroka hubungan mereka dan seterusnya mencari lebih banyak titik serasi agar hubungan terus hangat, intim dan bahagian. Itulah tujuan perkahwinan; mencapai "Wawaddah wa Rahmah" (Surah Ar-Rum: 21).
Program ini beliau kendalikan secara interaktif, berbentuk perkongsian hati ke hati, terbuka dan praktikal. Setiap isu yang diajukan akan diulas sebaik mungkin agar tiada lagi 'unfinished business' dalam hubungan rumah tangga, insya Allah.