Dua orang pemain diperlukan dan berkedudukan mengadap satu sama lain. Untuk memulakan permainan, biji getah atau guli akan diisikan dalam setiap kampung dengan sama banyak dan rumah dibiarkan kosong.
Dalam permainan ini, pemain akan memulakannya dengan serentak.
Buah congkak akan dimasukkan secara satu persatu ke dalam setiap 'kampung' menuju ke rumah masing-masing menurut arah pusingan jam, sehingga salah seorang berhenti di lubang yang kosong dan dianggap mati.
'Rumah' kepunyaan sendiri terletak di lubang hujung sebelah kiri pemain.
Pemain yang seorang lagi akan terus berjalan sehingga dia berhenti di lubang yang kosong. Dan selepas itu, setiap pemain akan bergilir berjalan sehingga buahnya mati.
Sekiranya pemain telah membuat satu pusingan, iaitu melepasi lubang ibu dan kembali ke lubang sebelah pemain, ia boleh mengambil buah di sebelah lubang bertentangan sekiranya ia mati di sebelah sendiri. Ini dikenali sebagai "tembak".