PENGENALAN PERMAINAN WAU
Permainan wau atau pun lebih dikenali layang-layang suatu ketika dahulu lebih popular di kawasan pedalaman iaitu di kawasan pantai dan kawasan lapang seperti di padang, sawah padi dan sebagainya. Kini permainan tersebut telah mulai popular dan diminati oleh pelbagai kaum termasuklah mereka yang menetap di kawasan bandar.
Permainan ini mengandungi unsur-unsur budaya Melayu asli. Ini dapat dilihat pada bentuk dan rekaan corak yang terdapat pada wau tersebut. Terdapat pelbagai jenis dan reka bentuk wau.
Asal-usul permainan wau yang sebenarnya tidaklah diketahui walaupun dalam beberapa buku Sejarah Melayu sudah menceritakan tentang permainan ini. Namun begitu, ramai orang berpendapat bahawa permainan wau ini bermula pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511). Pendapat ini berdasarkan kepada buku Sulalatus Salatin atau dikenali sebagai Sejarah Melayu yang mana ada menceritakan tentang permainan wau.
SEJARAH PERMAINAN WAU
Nama lain bagi wau adalah layang-layang. Perkataan “wau” ini dikatakan berasal dari perkataan Thailand memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut. Kaum yang mempopularkan permainan wau ialah kaum Melayu dan Siam yang ramai tinggal di negeri tersebut.
Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja, dan tidak pula disebut bermain wau.
Selain itu, kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi “wau’, “wau’, “wau’ secara berirama.
JENIS-JENIS WAU
Wau bulan merupakan antara jenis wau yang paling popular di Malaysia. Kepopularannya didominasi oleh rakyat pantai timur diSemenanjung Malaysia. Bentuk jenis wau ini menyerupai bulan sabit pada bahagian hadapan dan separa bulatan pada bahagian ekornya. Justeru, wau tersebut kelihatan seperti bulan yang terbit di angkasa apabila diterbangkan. Dari segi saiznya, wau bulan dibentuk dengan saiz yang lebih besar berbanding wau lain. Bidang biasa adalah sepanjang 2.5 meter dengan tinggi 3.5 meter. Ini untuk memastikan corak yang terdapat pada wau tersebut kelihatan jelas dan menyerlah. Bagi menyerlahkan daya tarikan jenis wau ini, pemilihan warna yang terang dan corak yang lebih besar menjadi pilihan. Bentuk wau bulan ini menjadi lambang syarikat kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Bagaimanapun, sesetengah pihak mendakwa logo ini sebenarnya diilhamkan oleh wau kucing, bukan wau bulan.
Wau Kucing dikatakan mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai seekor kucing yang sedang duduk dari sudut belakang, bermula dari bahagian kepala, badan dan seterusnya ekor kucing. Pada kebiasaannya, wau Kucing akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya.
Wau Dodo Helang merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Terengganu, Ia tergolong dalam kategori wau burung. Wau dodo helang ini mempunyai rupa yang sama dengan wau helang kecuali hiasan pada dada layang-layangnya yang berbeza.
KEBAIKAN PERMAINAN WAU
1. Mengasah Kemahiran Kreativiti dan Estetika
Pembuatan wau memerlukan kemahiran seni yang tinggi kerana wau dihias dengan motif yang cantik dan simbolik.
Ini dapat merangsang kreativiti dan daya imaginasi, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan belia.
Mewujudkan penghargaan terhadap seni dan estetika warisan budaya tempatan.
2. Menggalakkan Aktiviti Fizikal
Bermain wau memerlukan ruang terbuka seperti sawah, padang atau pantai yang luas.
Proses menerbangkan wau melibatkan pergerakan fizikal seperti berlari, menarik tali dan mengawal arah.
Ini membantu meningkatkan kecergasan fizikal dan koordinasi badan.
3. Mengeratkan Hubungan Sosial dan Kekeluargaan
Aktiviti bermain wau biasanya dilakukan secara berkumpulan atau bersama ahli keluarga.
Ia membina semangat kerjasama, komunikasi, dan silaturahim antara pemain.
Permainan ini juga sering dimainkan dalam pesta atau pertandingan yang meriah dengan semangat komuniti.
4. Meningkatkan Kesabaran dan Ketekunan
Membuat wau memerlukan masa dan ketelitian dalam membentuk rangka, melekatkan kertas, dan menghias.
Ini melatih sifat sabar, fokus, dan ketekunan dalam menyiapkan sesuatu tugasan dengan teliti.
5. Memupuk Cinta Terhadap Budaya dan Warisan
Permainan wau mengandungi elemen budaya Melayu seperti motif batik, unsur alam, dan kisah rakyat.
Ia membantu memupuk rasa bangga dan cinta terhadap warisan budaya tempatan, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
6. Meningkatkan Kemahiran Teknikal dan Inovasi
Pembuatan wau memerlukan pengetahuan tentang aerodinamik supaya wau boleh terbang dengan stabil.
Pemain juga belajar menyesuaikan reka bentuk wau dengan keadaan angin, saiz, dan bahan.
Ini mendorong kemahiran teknikal, penyelesaian masalah dan inovasi.
7. Menyumbang Kepada Kesihatan Mental dan Emosi
Bermain wau di kawasan lapang dengan angin yang menyegarkan membantu meredakan tekanan dan memberi ketenangan.
Ia memberi pengalaman santai dan menyeronokkan, yang boleh meningkatkan kesejahteraan emosi dan mental.
8. Meningkatkan Ekonomi Melalui Industri Kraf Tempatan
Wau yang indah dan bermutu tinggi boleh dijual sebagai cenderahati, hiasan, atau untuk pelancongan budaya.
Ini membantu menjana pendapatan kepada pengusaha tempatan dan mempromosikan seni warisan negara ke peringkat antarabangsa.