SILA TONTON VIDEO INI
Dari segi istilah Mad Silah Towilah bermaksud pertemuan Ha’ Dhomir atau Ha’ Kinayah dengan hamzah pada dua perkataan dengan syarat ha’ dhomir itu mestilah terletak di antara dua huruf yang berbaris.
Kadar harakat Mad Silah Towilah sama dengan kadar panjang mad Munfasil iaitu 4 atau 5 harakat ketika wasal di sisi Riwayat Hafs melalui Toriq Asy-Syatibiyyah. Manakala ketika waqaf ha’ dhomir itu disukunkan dan tidak dipanjangkan.
Mad Silah ini boleh dikenal dengan melihat huruf Ha’ simpul yang diikuti dengan huruf ya kecil atau wau kecil yang mempunyai tanda panjang di atasnya dan diikuti pula dengan huruf hamzah.
Nama lain Mad Silah Towilah adalah Mad Silah Kubra. Dinamakan Silah yang bermaksud sambung adalah kerana perkataan itu dipanjangkan bacaannya dengan wau atau ya pada ketika wasal, tetapi dibaca sukun ketika waqaf. Dinamakan Kubra pula kerana ia diikuti oleh hamzah berbaris selepasnya yang menyebabkan ia dibaca lebih dari 2 harakat iaitu 4 atau 5 harakat.
Mad Silah qosirah bermaksud mad yang berlaku pada huruf Ha’ dhomir atau Ha’ Kinayah tatkala terletak di antara dua huruf yang berbaris dan tiada huruf hamzah selepasnya.
Kadar harakat untuk Mad Silah Qasirah adalah 2 harakat.
Tanda Mad Silah Qasirah adalah bagi huruf Ha’ simpul yang dibaca dua harakat itu, pasti terdapat padanya tanda wau kecil selepas ha’ yang berbaris dhommah, atau ya’ kecil selepas ha’ yang berbaris kasrah.
Nama lain bagi Mad Silah Qosirah adalah Mad Silah Sughra. Ia dinamakan Mad Silah Sughra kerana perkataan Silah bermaksud sambung kerana perkataan itu dipanjangkan bacaannya dengan wau dan ya pada ketika wasal, tetapi dibaca sukun ketika waqaf. Dinamakan Sughra kerana tidak terdapat huruf hamzah selepas Ha’ simpul itu.
Contoh Mad Silah Qasirah
وَذَكَرَ ٱسۡمَ رَبِّهِۦ [Al A’la 15]
فَجَعَلَهُۥ غُثَاۤءً [ Al A’la 5]
إِنَّهُۥ یَعۡلَمُ [ Al A’la 7]
إِنَّهُۥ عَلَىٰ رَجۡعِهِۦ لَقَادِرࣱ [ At Tariq 8]
عَنۡهُ مَالُهُۥ [ Al Masad 2]
Contoh Mad Silah Tawilah
عَذَابَهُۥۤ [ Al Fajr 25]
أَن لَّمۡ یَرَهُۥۤ [ Al Balad 7]
لِمِثۡلِهِۦۤ أَبَدًا [ An Nur 17]
أَنَّ مَالَهُۥۤ أَخۡلَدَهُۥ [ Al Humazah 3]
مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِیَاۤءَۗ [ Al A’raf 3]