YBrs. Dr. Aris Fazil bin Haji Ujang (PENGARAH IPGKSAH)
Dr Aris Fazil bin Haji Ujang mendapat pendidikan perguruan peringkat sijil asas (Pendidikan Muzik - 1990) dan pensijilan khas (Pendidikan Jasmani - 1995) dari Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Beliau memperoleh diploma (Pendidikan Jasmani - 1997) dari Institut Perguruan Sultan Idris. Momentum untuk belajar berterusan sehingga beliau dapat melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia dan dianugerahkan Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani - 2000) dan Master Sains (Sains Sukan - 2005). Pada 2007 beliau mendapatkan tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Hadiah Latihan Persekutuan bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dan dianugerahi Ijazah Doktor Falsafah (Sains Sukan - 2012).
Kerjaya beliau sebagai guru bermula di SK Taman Tasik, Ampang, Selangor pada akhir 1990. Pada 2000 bertugas pula di SMK Tasik Permai, Ampang sehingga tahun 2003 dan seterusnya di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Kuala Lumpur sebagai pensyarah Pendidikan Jasmani dan dilantik sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani pada tahun 2013. Jawatan akhir beliau di IPGKIK adalah Ketua Jabatan Akreditasi dan Kualiti sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah di IPG Kampus Gaya pada 2019.
Dalam bidang penulisan dan penerbitan , beliau juga melibatkan diri dalam bidang penulisan. Nama beliau tercatat sebagai penulis di buku-buku teks Pendidikan Jasmani dan Kesihatan KBSR dan KBSM, di samping sebagai panel peningkatan mutu program penerbitan buku teks Pendidikan Jasmani. Selain menulis buku, beliau juga menulis artikel penyelidikan dan membentangkan kertas kerja penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kepakaran beliau adalah dalam bidang penyelidikan kuantitatif dan penganalisisan data kuantitatif. Beliau membantu IPGM dalam penyelidikan impak dan penilaian program serta membantu menyediakan manual bagi ujian kecergasan fizikal dan ujian amali Pendidikan Jasmani bagi pemilihan calon guru IPGM.
YBrs. ChM Dr. Nur Jahan Ahmad (Universiti Sains Malaysia)
Tajuk Ucaptama :
" Menyemai Minda Inovatif untuk Pembangunan Masyarakat Madani dalam Era Digital "
ChM (Ahli Kimia) Dr. Nur Jahan Ahmad ialah pensyarah kanan dan Pengerusi Program Sarjana Muda Sains dalam Program Pendidikan di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Sains Biologi (Kepujian) dari University of Pittsburgh, Diploma Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Ijazah Sarjana Sains (Kimia) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pendidikan Kimia dari University of Leeds.
Beliau pernah berkhidmat di Southeast Asian Ministers of Education Organization Regional Centre for Education in Science and Mathematics (SEAMEO RECSAM) sebagai Pakar dan Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Pembangunan). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai guru di sekolah menengah dan pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang.
Selain itu, beliau mempunyai pengalaman luas dalam melatih guru-guru dari Asia Tenggara, Asia Pasifik, Afrika, dan Maldives. Beliau telah menyelaras pelbagai bengkel, program pembangunan kapasiti, program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC), serta aktiviti lesson study bersama guru-guru dalam perkhidmatan.
Dr. Nur Jahan juga merupakan penyelidik berpengalaman yang aktif dalam penyelidikan berkaitan Pendidikan STEM, Pendidikan Kimia, Pendidikan Sains, dan Kajian Kurikulum. Beliau turut berperanan sebagai penasihat luar lembaga penerbitan, editor, penulis, dan penilai; serta telah menerbitkan banyak artikel dan buku dalam bidang kepakaran beliau.