Unit Patologi & Transfusi Hospital Machang menyediakan perkhidmatan sokongan klinikal khusus dalam bidang diagnostik penyakit. Berlokasi di Blok AO , Organisasi ini terdiri daripada seorang Pegawai Sains (Kimia Hayat), 12 orang Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) dan seorang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK).
Unit Patologi & Transfusi Hospital Machang adalah komited dalam menyediakan perkhidmatan patologi yang cekap dan efektif bagi menyokong keperluan perkhidmatan perubatan demi menaikkan taraf kesihatan masyarakat. Organisasi kami akan sentiasa berusaha untuk memastikan keperluan dan harapan pelanggan diberi perhatian sewajarnya untuk meningkatkan kualiti perawatan pesakit.
Unit Patologi & Transfusi Hospital Machang sedaya upaya cuba untuk menggunakan teknologi yang sesuai dan pengetahuan yang terkini serta bersikap tulus dan peka terhadap keperluan pelanggan. Selain itu juga, semua ujian yang dijalankan dipastikan selaras dengan prosedur dan menggunakan kaedah yang sesuai.
Unit Patologi & Transfusi Hospital Machang juga berhasrat untuk membangunkan budaya kualiti berasaskan kerja berpasukan dan profesionalisme dan memastikan semua kakitangan unit adalah cekap dan mematuhi polisi, prosedur, garis panduan, piawaian dan peraturan.
PERKHIDMATAN
Perkhidmatan Unit Patologi & Transfusi Hospital Machang meliputi perkhidmatan berikut:
Perkhidmatan Patologi Kimia
Patologi Kimia adalah kajian berkaitan mekanisme biokimia di dalam tubuh badan yang berkaitan dengan sesuatu penyakit, ini dilakukan melalui analisa bendalir badan yang merangkumi darah, air kencing dan cecair cerebrospinal. Kebanyakan penyakit menyebabkan perubahan kepada komposisi biokimia bendalir badan. Ujian-ujian patologi kimia yang dijalankan adalah bertujuan untuk saringan penyakit, melakukan diagnosa, prognosis dan pengurusan pesakit secara keseluruhannya.
Perkhidmatan Mikrobiologi
Makmal ini menawarkan ujian-ujian yang umum dan khusus untuk mengenalpasti jangkitan organisma seperti bakteria, virus, kulat dan parasit pada pesakit, seterusnya membantu doktor klinikal mengenalpasti rawatan antibiotik, antikulat atau antivirus yang diperlukan. Selain daripada itu makmal mikrobiologi juga terlibat dengan aktiviti kawalan infeksi berkaitan pemantauan dan pencegahan jangkitan penyakit di hospital.
Perkhidmatan Hematologi
Unit hematologi menawarkan analisa ujian merangkumi penyiasatan berkenaan penyakit berkaitan dengan darah seperti anaemia, leukemia, lymphoma dan bleeding disorders. Ujian-ujian yang ditawarkan adalah seperti Full Blood Count, Coagulation study, Erythrocyte Sedimentation Rate dan Full Blood Picture...
Perkhidmatan Perubatan Transfusi
Perkhidmatan yang menyediakan produk dan komponen darah kepada pesakit yang ingin menjalani proses transfusi darah. Produk & komponen darah yang dibekalkan kepada pesakit di sini diperolehi dari Hospital Raja Perempuan Zainab II. Antara produk darah yang dibekalkan adalah seperti Packed cell, Fresh Frozen Plasma, Cryoprecipitate dan Platelet.