Aplikasi Pemikiran Komputasional bagi
Pembelajaran Sains Sekolah Rendah
Pemikiran Algoritmik dalam Pembelajaran Sains berasaskan Inkuiri (PAPSI) adalah usaha mengaplikasikan salah satu kemahiran pemikiran komputasional (PK) iaitu pemikiran algoritmik (PA) dalam persekitaran pembelajaran sains berasaskan inkuiri. Pembelajaran sains berasaskan inkuiri berfokuskan kepada perbincangan akan persoalan secara saintifik bagi menemukan kesimpulan yang terbaik. Penglibatan murid-murid dalam proses mencari jawapan kepada persoalan secara aktif dan keberhasilan dalam menemui jalan penyelesaian akan meningkatkan motivasi murid (Anderson et al. 1970). Guru berperanan sebagai pemudahcara dalam menyampaikan persoalan dan membimbing murid dengan mengutarakan persoalan-persoalan yang mencetus idea dan pengetahuan baru. Komunikasi antara guru dan murid untuk mengorganisasikan maklumat-maklumat dalam proses berfikir yang berlaku secara sistematik menggunakan pemikiran algoritmik penting semasa melaksanakan penyiasatan. PA merupakan satu kemahiran mempersembahkan penyelesaian sesuatu tugasan atau masalah secara berstruktur dalam bentuk satu set urutan langkah-langkah. Persembahan penyelesaian boleh ditunjukkan menggunakan carta alir.
Mendedahkan pemikiran algoritmik melalui pembelajaran sains sekolah rendah.
a. Memperkenalkan konsep pemikiran algoritmik.
b. Mengaplikasikan pemikiran algoritmik dalam pembelajaran sains secara inkuiri.
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Sains Semakan Semula telah memasukkan elemen pemikiran komputasional (PK) sebagai salah satu amalan yang penting untuk diserap dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc). Pemikiran komputasional merupakan satu proses penyelesaian masalah yang berkesan dengan menggunakan kemahiran penting dalam sains komputer yang boleh dilaksanakan oleh manusia, mesin atau kedua-duanya sekali (Wing 2012). Walaupun menggunakan prinsip-prinsip penting dalam sains komputer, PK bersifat universal dan boleh diintegrasikan dalam pelbagai disiplin (Bower et al. 2017; Moreno-Leon et al. 2018) dari pendidikan seawal pendidikan prasekolah bagi memupuk kemahiran abad ke-21. Malaysia telah mula mengintegrasikan PK ke dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang baharu mulai Januari 2017. Integrasi PK dalam sekolah rendah merentasi semua mata pelajaran (Azura Abas 2016). Pengaruh pengkomputeran yang dominan dalam abad ke-21 memberi kelebihan kepada individu yang mempelajari kemahiran pemikiran komputasional untuk mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam menyelesaikan masalah yang kompleks dalam pelbagai disiplin ilmu termasuk sains.
Puan Tracy anak Mensan
Jabatan STEM
Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak, Miri.
Alamat:
Jabatan STEM, IPG Kampus Sarawak, Miri
Jalan Bakam,
98000 Miri,
Sarawak, Malaysia.