SMK Lake telah ditubuhkan pada bulan Januari 1966 dipimpin oleh Encik Si Kheng Kwang selaku Guru Besar yang pertama (kini dikenali sebagai Pengetua). Antara guru pengasas sekolah ketika itu ialah Encik Morshidi Ahim, Puan Teo Siew Ching, Encik William Chan dan Encik Anchenbuck, seorang sukarelawan Amerika (Peace Corp). Ketika mula dibuka, sekolah ini belum mempunyai bangunan sendiri dan terpaksa menumpang di Bau Council Primary School (sekarang tapak Pejabat Pelajaran Daerah Bau). Pada mulanya SMK Lake hanya mempunyai sebuah kelas Peralihan, sebuah kelas Tingkatan 1 dan sebuah kelas Tingkatan 2. Pelajar Tingkatan 2 merupakan kumpulan pelajar dari SMK Penrissen yang berasal dari Daerah Bau.
Ambilan pertama SMK Lake hanya terdiri daripada lebih kurang 100 orang pelajar, dan 30 orang daripada mereka terpaksa menumpang tinggal di asrama SMK Bau. “Club House” digunakan sebagai Perpustakaan dan kelas sementara bagi mata pelajaran Sains. Ketua Pelajar ketika itu ialah Petrus Pesim.
SMK Lake berpindah ke bangunan tetap yang siap dibina pada penggal ketiga pada tahun 1967. Antara bangunan dan kemudahan ketika itu ialah sebuah blok dua tingkat untuk pejabat dan bilik darjah, sebuah Bilik Sains Rumah Tangga, sebuah Dewan Makan, sebuah Rumah Pengetua Kelas 3, 3 buah Rumah Guru Kelas 4, 2 Unit Berek, 2 buah Asrama Lelaki dan sebuah Asrama Perempuan.
Pembukaan rasmi sekolah dilakukan oleh Gabenor Sarawak (kini dikenali sebagai TYT Yang DiPertua Negeri), iaitu Allahyarham Tun Abang Haji Openg pada 12 April 1968. Daripada sebuah Sekolah Menengah Rendah Gred B, SMK Lake mula menawarkan kelas Tingkatan 4 pada tahun 1983. Di bawah kepimpinan mendiang Encik Michael Chang Yit Yong, kelas Tingkatan 6 Rendah mula diperkenalkan pada tahun 1991. SMK Lake kemudian dinaikkan taraf kepada Sekolah Menengah Gred A pada tahun 1995.
Pada Januari 2016, semua kelas Tingkatan 6 di Daerah Bau dipusatkan di SMK Bau. Kesemua 6 kelas Tingkatan 6 dan 14 orang guru Tingkatan 6 dipindahkan ke SMK Bau. Mulai Jun 2018, sebahagian pelajar yang berasal dari Kampung Singai telah dipindah ke SMK Singai.
Kini SMK Lake telah berkembang pesat sebagai sebuah sekolah menengah kategori luar bandar, dengan bilangan pelajar dalam lingkungan 1500 orang, serta bilangan guru dan staf sokongan melebihi 110 orang.
CIPTAAN : CIKGU HARRY NYAMEK
SMK LAKEKU, KAUKU PUJA
SETIAP MASA, KAMI BERDIKARI
DAN BERUSAHA SETIAP HARI
DEMI MENCAPAI CITA MURNI
DI TEPI JALAN, DI PAPAN TANDA
KAU BERDIRI MEGAH, MENDIDIK WARISAN
DENGAN MENCURAHKAN BAKTIMU
DEMI BANGSA YANG TERCINTA
TERIMA KASIH KAMI UCAPKAN
DI ATAS BIMBINGAN MU
SEGALA BUDIMU TETAP KUKENANG
HINGGA KE AKHIR HAYATKU
HINGGA KE AKHIR HAYATKU
PIAGAM PELANGGAN
Guru-guru dan staf SMK LAKE berjanji menunaikan tanggungjawab kami untuk:
Mendidik generasi muda ke arah kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah supaya menjadi warga yang berguna dan berbakti kepada masyarakat dan negara.
Menjamin pendidikan berkualiti melalui pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar.
Menjamin layanan yang cekap dan mesra kepada sesiapa sahaja yang berurusan dengan pihak sekolah
Menyediakan suasana dan persekitaran sekolah yang selamat, bersih, indah, ceria dan selesa.
Mewujudkan hubungan yang mesra dan harmonis dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat umum.
SLOGAN
Peningkatan Kualiti Kerja Tanggungjawab Bersama.
MATLAMAT
Menyediakan perkhidmatan berkualiti dalam semua urusan sekolah.
OBJEKTIF
Perkhidmatan cepat, cekap, mesra dan berkualiti.
PERNYATAAN KUALITI
· Betul, kemas, lengkap dan cepat setiap masa
· Mengambil kira keperluan dan kepuasan pelanggan
· Hasil dan proses kerja berkualiti
· Semangat kerja berpasukan tinggi
· Semua staf mahir, cekap dan mesra