LAMAN UTAMA PSS SK DATUK BANDAR
SEJARAH SEKOLAH
Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1936, adalah hasil usaha muafakat penduduk kampung yang dipelopori oleh Encik Abang Abdillah yang memegang jawatan Sarawak Native Officer (SNO) yang ketika itu masih lagi di bawah pemerintahan Brooke. Atas nasihat dan galakan beliau, penduduk kampung Debak telah mengadakan mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Pembinaan Sekolah. Jawatankuasa itu terdiri daripada tokoh-tokoh berikut:
Penasihat: Encik Abang Abdillah
Pengerusi: Encik Muhammad Bin Kamis
Timb. Pengerusi: Tua Kampung Putit Bin Apek
Setiausaha: Tuan Hj. Abang Ali bin Abang Uda
Bendahari: Encik Abang Mud bin Abang Hosen
Timb. Bendahari: Tuan Hj. Subuh bin Bunut
Ahli Jawatankuasa:
Tuan Hj. Naie bin Abang Ghani
Encik Abang Mahli bin Abang Taim
Encik Simbok bin Gapar
Tuan Hj. Abang Usi bin Abang Tarip
Tuan Lebai Yunus bin Suba
Tuan Hj. Man bin Tinggal
Encik Sibang bin Linggeh
Encik Hussein bin Linggeh
Hasil muafakat, kerjasama dan sokongan penduduk kampung, maka terbina sebuah pondok kecil berupa bangsal dan beratap nipah dijadikan sebagai pusat pendidikan awal anak-anak kampung Debak ketika itu. Ianya dibina di atas tanah tinggi berdekatan dengan tebing Sungai Rimbas. Ahli jawatankuasa terbabit bersetuju sekolah tersebut dinamakan Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Datuk Bandar. Mengambil nama sempena Wakil Sultan Brunei di Saribas suatu ketika dahulu iaitu Datuk Bandar Abdul Hamid iaitu anak kepada Datuk Patinggi Kedit.. Sekolah Kebangsaan Datuk Bandar juga merupakan sekolah rendah terbesar di Daerah Debak.
Menjelang tahun 1962, sekolah ini semakin berkembang maju. Pada masa itu, bangunan sekolah ini bertambah menjadi tiga buah bangunan dengan jumlah sembilan buah bilik darjah dan menampung kira-kira 220 orang murid. Pada tahun 1975, sekolah ini mempunyai lokasi seluas lima ekar dan turut didirikan bangunan konkrit. Bangunan konkrit ini telah dirasmikan pada hari Khamis, 19 Februari 1976 oleh Yang Berhormat Dr. Mahathir bin Mohamed, Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu. Ramai bekas murid sekolah ini telah berjaya mencipta nama dalam pelbagai bidang, sama ada dalam sektor awam ataupun swasta.
Selain itu, sekolah ini menjadi pusat utama dalam perkembangan pendidikan di Zon Debak. Tidak pernah lekang dari aktiviti akademik dan kemasyarakatan adalah rutin harian di Sekolah Kebangsaan Datuk Bandar. Sekolah ini juga banyak melahirkan murid yang cemerlang dan ramai di antara mereka telah melanjutkan pelajaran hingga ke pengajian tinggi.
GAMBAR BANGUNAN SEKOLAH TAHUN 1976