Penubuhan Fakulti Sains Kesihatan (FSK) bermula pada tahun 1996, apabila FSK ditempatkan di bawah Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Kampus Jalan Othman, Petaling Jaya. Pada tahun 2002, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan ditubuhkan serta mula menawarkan enam program. Selepas dua tahun bergabung dengan Fakulti Perubatan, pada tahun 2004, Fakulti Sains Kesihatan bergerak sendiri sebagai sebuah fakulti yang berasingan. Pada tahun 2009, FSK berpindah ke UiTM Kampus Puncak Alam. Sehingga kini, terdapat lapan Pusat Pengajian di bawah Fakulti Sains Kesihatan, termasuk penambahan Pusat Pengajian Diatetik dan Pusat Pengajian Optometri. FSK kini menawarkan program pengajian yang komprehensif merangkumi peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda serta pengajian Pasca Siswazah. Pada masa ini, tiga kampus UiTM menawarkan program Sains Kesihatan, iaitu UiTM Kampus Puncak Alam, UiTM Cawangan Sarawak (Kota Samarahan), dan UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam.
Fakulti Sains Kesihatan mula diperkenalkan di UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam pada tahun 2011, menjadikan kampus ini kampus ketiga yang menawarkan program Fakulti Sains Kesihatan, selepas UiTM Selangor Kampus Puncak Alam dan UiTM Cawangan Sarawak.
Pada tahun 2011, FSK UiTM Kampus Bertam menawarkan dua program awal, iaitu Diploma Teknologi Makmal Perubatan (HS111) dan Diploma Kesihatan Persekitaran (HS113). Pada tahun 2018, tiga program tambahan telah dipindahkan dari UiTM Selangor Kampus Puncak Alam ke UiTM Kampus Bertam, iaitu Diploma Kejururawatan (HS110), Diploma Fisioterapi (HS114), dan Diploma Pemulihan Cara Kerja (HS115).
Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam terus berkembang dengan peningkatan jumlah pengambilan pelajar dari seluruh Semenanjung Malaysia serta dari Sabah dan Sarawak.