Kajang, 19 Ogos 2025 – Mesyuarat Khas NAPREC: Train The Trainer (TOT) telah diadakan bagi Projek Constructing A Malaysian Shop Price Index (MSPi) Using Machine Learning Analytics Method. Sesi ini berlangsung di Makmal Mutiara 1, Institut Penilaian Negara (INSPEN).
TOT ini bertujuan memberi pendedahan serta latihan teknikal kepada peserta mengenai kaedah penggunaan Machine Learning Analytics dalam pembinaan Indeks Harga Ruang Niaga di Malaysia, yang merupakan antara produk baharu di bawah perancangan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC). Pendekatan ini dijangka dapat meningkatkan tahap ketepatan, kebolehpercayaan dan keberkesanan dalam penghasilan indeks harga pasaran ruang niaga berbanding kaedah tradisional.
Projek MSPi ini dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dengan objektif utama membangunkan satu indeks rujukan yang sistematik dan berstruktur bagi pasaran ruang niaga. Melalui penggunaan teknologi machine learning dijangka memberi nilai tambah dalam penilaian pasaran hartanah komersial, pemantauan trend harga serta menyokong dasar perancangan bandar.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) serta pihak Sekretariat NAPREC. Diharapkan, hasil latihan dan penyelidikan ini dapat dimanfaatkan sebagai input baharu dalam laporan pasaran serta dasar pembangunan harta tanah negara menjelang penghujung tahun 2025.