16 Jun, Kajang - Mesyuarat Pengerusi-Pengerusi Panel Pakar NAPREC Bil. 1/2025 telah diadakan bertempat di Baginda Lounge, Institut Penilaian Negara (INSPEN), Kajang. Tujuan mesyuarat ini adalah bagi membincangkan status kemajuan penyelidikan serta laporan kewangan bagi Geran Penyelidikan National Property Research Coordinator (NAPREC) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tempoh tahun 2024/2025.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBrs. Sr. Abdul Razak bin Yusak, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, dan turut dihadiri oleh para pengerusi bidang Real Estate Laws and Policies (RELP), Real Estate Valuation (REV), Real Estate Industry and Analysis Studies (REIAS), wakil pengerusi bidang Real Estate Development Finance (REDF), wakil pengerusi bidang Real Estate Management and Services (REMS) serta pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Ibu Pejabat JPPH. Turut hadir adalah Pengarah INSPEN dan Sekretariat NAPREC.
Antara perkara lain yang turut dibincangkan ialah prestasi projek penyelidikan, prestasi pembayaran, mesyuarat pemantauan oleh Panel Pakar Bidang, Persidangan NAPREC Ke-18 dan lain-lain perkara. Persidangan NAPREC Ke-18 dijadualkan akan berlangsung pada 5 Ogos 2025 di Dewan Jubli.
Dalam ucapan penutup, Pengerusi menekankan harapan agar peruntukan dana NAPREC di bawah RMK-12 dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan diselesaikan sebelum berakhirnya tempoh RMK-12 tanpa perlu dibawa ke Rancangan Malaysia yang seterusnya.