Kajang, 1 Julai 2025 – Satu mesyuarat Khas NAPREC diadakan bagi pembentangan projek penyelidikan Malaysian Shop Price Index (MSPi), iaitu projek Fasa 3 di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), bersama pihak Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC). Kajian ini dibentangkan oleh Dr. Junainah binti Mohamad, Ketua Penyelidik dari UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.
Projek MSPi bertujuan membangunkan satu indeks rujukan bagi menilai harga pasaran ruang niaga di Malaysia secara lebih sistematik dan berstruktur. Buat masa ini, MSPi masih belum diterbitkan dalam Laporan Pasaran Harta (LPH), namun ia mempunyai potensi besar untuk dijadikan input baharu sekiranya diterima pakai oleh pihak berkepentingan.
Indeks ini dijangka memberikan pelbagai manfaat kepada industri hartanah komersial, termasuk membantu penilaian nilai pasaran, memantau trend harga, menyokong dasar perancangan bandar, serta meningkatkan ketelusan pasaran ruang niaga.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Puan Amy anak Pirah, Ketua Penolong Pengarah, Unit Analisis Data NAPIC. Turut hadir wakil NAPIC ialah Puan Nor Azian binti Abu Samah, Puan Khairiah binti Abdullah, Puan Siti Jaliah binti Adam, Puan Nurulhudha binti Imam Penciong, dan Puan Zamelah binti Zahari.
Projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2025. Sehubungan itu, pihak Sekretariat NAPREC berharap agar hasil penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak berkepentingan dan seterusnya diterima sebagai salah satu input rasmi dalam laporan pasaran serta dasar pembangunan harta tanah negara.