Kajang, 4 Julai 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu, Projek Penyelidikan NAPREC Bil. 1/2025 telah diadakan di Bilik Persidangan Saujana, Institut Penilaian Negara (INSPEN) dan dipengerusikan oleh YBrs. Sr. Abdul Razak bin Yusak, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh semua 5 pengerusi panel pakar bidang NAPREC, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JPPH, serta urusetia Sekretariat NAPREC. Wakil-wakil kementerian yang hadir termasuk Dr. Siti Noor Baiti binti Mustafa, Timbalan Pengarah (Latihan), Bahagian Pembangunan Modal Insan, Kementerian Ekonomi dan Puan Nur Asiah Abdul Kadir, daripada Bahagian Dasar Saraan & Pengurusan, Kementerian Kewangan.
Fokus utama mesyuarat adalah pelaporan status kemajuan projek penyelidikan di bawah Geran Penyelidikan NAPREC RMK-12 bagi 2B dan 3, termasuk semakan pelaporan kewangan, perbelanjaan semasa dan baki dana tidak habis di peringkat universiti (RMC). Beberapa keputusan turut dicapai, khususnya berhubung pengurusan baki dana tidak habis belanja di RMC termasuk cadangan penyeragaman dan kawalan yang lebih rapi bagi memastikan penggunaan dana yang lebih efisien dan selaras dengan peraturan semasa. Pihak Sekretariat NAPREC juga memaklumkan status semasa permohonan bajet penyelidikan bagi NAPREC RMK-13 (2026–2030) yang sedang dipertimbangkan oleh pihak Kementerian Kewangan.
Pengerusi menekankan agar dana NAPREC tahun 2025 diurus dan dibelanjakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan serta dimanfaatkan sepenuhnya. Beliau turut menyeru agar setiap hasil penyelidikan NAPREC menghasilkan outcome yang memberi impak positif kepada industri hartanah dan pembangunan negara.