GANTI RUGI PERTUNANGAN/PERKAHWINAN
Apa yang dimaksudkan dengan tuntutan ganti rugi pertunangan?
Tuntutan Ganti Rgui Pertunangan adalah suatu tuntutan difailkan di Mahkamah apabila berlaku pelanggaran perjanjian untuk berkahwin (Pertunangan)
Persiapan perkahwinan termasuklah dewan, baju sanding dan lain-lain telahpun ditempah dan tunang saya telah membatalkan pertunangan kami. Apa yang boleh saya buat dan apa yang boleh saya tuntut?
Pihak yang terkilan dengan pembatalan tersebut boleh memfailkan tuntutan Ganti Rugi Pertunangan terhadap pihak yang membatalkan pertunangan tersebut di Mahkamah Syariah. Tuntutan tersebut juga meliputi kos kerugian perbelanjaan yang ditanggung seperti persiapan persediaan majlis seperti deposit sewa khemah, langsir, cadar, baju persalinan, barangan keperluan, barangan runcit, jamuan makan termasuk barang kemas dan perhiasan lain yang berkaitan.
PERNIKAHAN
Bilakah pernikahan secara wali hakim boleh dipohon di mahkamah ?
Permohonan Wali Hakim boleh dipohon apabila:
1. Saudara baru (muallaf) yang tidak mempunyai wali nasab yang beragama islam.
2. Wali ghaib
3. Wali enggan
4. Anak tak sah taraf
5. Wali dalam ihram
Saya telah mengenali hati budi seorang wanita dalam tempoh perkahwinan saya dan berhasrat untuk berpoligami. Apa yang perlu saya lakukan sebelum saya berkahwin dengan wanita tersebut?
Encik boleh memfailkan kes tuntutan poligami di Mahkamah Tinggi Syariah di mana negeri Encik bermastautin bagi mendapatkan kebenaran berpoligami.
Saya dan suami telah bernikah di Thailand. Apa yang perlu kami lakukan untuk mendapatkan Sjil Nikah Malaysia?
Puan dan suami hendaklah hadir ke Pejabat Agama Islam yang berhampiran bagi memaklumkan pernikahan tersebut dan suatu siasatan akan dilakukan. Setelah Puan dan suami terima laporan daripada Pihak Pejabat Agama Islam, puan dan suami hendaklah memfailkan kes Permohonan Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan Perintah sebelum ia boleh didaftarkan di Pejabat Agama Islam Dareah tersebut.
Bagaimana seseorang isteri itu boleh disabitkan nusyuz ?
Mahkamah boleh mensabitkan seorang isteri itu nusyuz sekiranya terbukti bahawa isteri tersebut enggan ( tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak) mematuhi kemahuan @ perintah sah suami antara lain ;
1. Menjauhkan diri dari suaminya
2. Dia meninggalkan rumah bertentangan dengan kemahuan suami
3. Dia enggan berpindah bersama suaminya
PERCERAIAN
Saya telah bercerai dengan suami. Adakah saya mempunyai hak dan apakah tuntutan atau hak-hak yang boleh saya tuntut sebagai isteri setelah berlakunya perceraian antara saya dan bekas suami ?
Selepas berlakunya perceraian, Puan mempunyai beberapa hak yang boleh dituntut dan difailkan di Mahkamah Syariah. Antara tuntutan-tuntutan yang boleh difailkan adalah:
1. Hutang Maskahwin
2. Nafkah 'Iddah
3. Tunggakan Nafkah Isteri
4. Mutaah
5. Harta Sepencarian
6. Hak Jagaan Anak (Hadhanah)
7. Nafkah Anak
Apa itu Cerai Ta'liq dan bagaimana ia sabit?
Ta’liq ertinya perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan sepertimana diperuntukan dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri. Cerai takliq boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran ke atas takliq dan setelah aduan dibuat serta disahkan oleh Mahkamah.
Apa yang perlu dilakukan apabila berlakunya penceraian di luar Mahkamah di antara suami dan isteri ?
Sekiranya penceraian berlaku di luar Mahkamah, maka pihak-pihak tersebut hendaklah membuat Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai di Mahkamah bagi menentukan kesahihan lafaz tersebut seberapa segera selepas berlakunya lafaz tersebut.
Suami saya telah hilang tanpa dikesan selama lebih 4 tahun atau berkemungkinan telah mati. Bagaiamana jika saya ingin berkahwin lain dan apa proses yang sewajarnya?
Anggapan mati ialah apabila suami seorang perempuan telah mati atau dipercayai telah mati atau telah tidak didapati apa-apa perkhabaran mengenainya selama tempoh 4 tahun atau lebih. Apabila keadaan itu berterusan dan perempuan itu hendak berkahwin lain, hendaklah terlebih dahulu mendapat pengisytiharan anggapan kematian daripada Mahkamah Syariah.
Apakah itu Khulu' (Tebus Talak) ?
Perceraian Tebus Talaq ialah perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan membuat tawaran bayaran samaada melalui wang atau harta benda sepertimana yang dipersetujui oleh pihak-pihak melalui ijab dan qabul. Cerai Khulu' adalah merupakan cerai Bain Sughra dan tidak boleh dirujuk melainkan dengan akad dan mas kahwin yang baru.
HAK JAGAAN ANAK
Selepas bercerai suami saya sentiasa mengugut saya bahawa saya tidak akan mendapat hak penjagaan anak kerana saya tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap dan hanya menjual kuih-muih secara sambilan untuk menyara kehidupan. Adakah pekerjaan seseorang isteri ataupun seseorang isteri yang tidak bekerja itu tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak berbanding suami yang bekerja ?
Untuk makluman puan, walaupun isteri tidak mempunyai pekerjaan, Mahkamah Syariah boleh memberikan hak penjagaan anak kepada isteri jika Mahkamah mendapati anak-anak tersebut lebih terjamin kebajikannya apabila mereka berada di bawah penjagaan ibu. Ini kerana pertimbangan Mahkamah Syariah adalah berdasarkan kepada kebajikan anak atau pun apa-apa yang difikirkan terbaik untuk anak-anak tersebut (the best interest of the child).
Siapakah yang berhak terhadap tuntutan hak jagaan anak ?
Secara asalnya, Hukum Syarak menetapkan bahawa ibu lebih berhak terhadap penjagaan anak (Hadanah) sekiranya ibu hilang kelayakan dibawah Hukum Syarak maka hak tersebut diberikan kepada nenek sebelah ibu keatas kemudian barulah bapa . mahkamah boleh mempertimbangkan pilihan anak dengan mengikut kepada kebajikan dan kepentingan anak tersebut.
Saya mempunyai 2 orang anak tidak sah taraf. Walaubagaimanapun, keluarga bekas suami bertegas ingin jaga mereka. Apa yang perlu saya lakukan?
Berdasarkan Hukum Syara' dan peruntukan undang-undang, penjagaan kanak-kanak tak sahtaraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu. Sekiranya keluarga bekas suami Puan ingin mendapatkan anak-anak tersebut, adalah lebih baik untuk Puan dapatkan Perintah Hak Jagaan bagi kedua-dua anak tersebut bagi memastikan kebajikan anak-anak tersebut.
NAFKAH ANAK & PENGUATKUASAAN
Siapakah yang perlu menanggung nafkah anak?
Adalah menjadi kewajipan bagi seorang bapa untuk menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya. Jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka. Maka, menjadi kewajipan bagi seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak tersebut.
Berapa jumlah yang wajar untuk saya mohon bagi nafkah anak?
Tiada jumlah tetap yang ditentukan bagi seorang anak. Walaubagaimanapun, Puan boleh buat pengiraan nafkah bulanan berdasarkan keperluan dan kebajikan anak tersebut dengan mengambil kira nafkah asas atau sedia ada anak tersebut termasuklah makanan, minuman, pakaian tempat tinggal, perubatan, pendidikan, umur serta kemampuan/pendapatan bapa.
Saya telah mendapatkan Perintah Nafkah Anak daripada Mahkamah Syariah. Walaubagaimanapun, bekas suami saya enggan untuk membayar nafkah anak tersebut? Apa yang perlu saya lakukan untuk memastikan bekas suami saya membayar nafkah anak tersebut?
Terdapat beberapa cara atau langkah yang boleh Puan lakukan terhadap masalah yang Puan alami. Antaranya ialah:
1- dapatkan bantuan daripada pihak Bantuan Sokongan Keluarga (BSK) bagi masalah tunggakan nafkah; atau
2- buat permohonan Komital dan Notis Tunjuk Sebab di atas kegagalan mematuhi Perintah Mahkamah Syariah; atau
3-memfailkan permohonan Penguatkuasaan Perintah Nafkah anak bagi melaksanakan perintah nafkah anak yang sedia ada tersebut kepada bekas suami.
HARTA SEPENCARIAN
Saya dan suami telah bercerai. Sepanjang tempoh perkahwinan saya dengan bekas suami, saya tidak bekerja dan hanya seorang suri rumah. Bolehkah saya mohon Harta Sepencarian terhadap harta-harta yang diperolehi sepanjang saya berkahwin?
Boleh Puan. Isteri yang tidak bekerja juga berhak untuk menuntut Harta Sepencarian di Mahkamah. Mahkamah akan melihat kepada sumbangan isteri tersebut secara tidak langsung sepanjang tempoh perkahwinannya seperti menjaga kebajikan anak-anak dan suami serta usahanya menjaga harta tersebut.
Saya mempunyai sebuah rumah sebelum saya berkahwin dengan bekas isteri. Bolehkah bekas isteri ingin memohon harta sepencarian terhadap rumah tersebut?
Sekiranya bekas isteri Encik ingin menuntut Harta Sepencarian terhadap rumah tersebut, beliau hendaklah membuktikan kepada Mahkamah bahawa wujud sumbangan beliau terhadap harta tersebut seperti dimajukan atau dikembangkan oleh beliau. Sebagai contoh, rumah tersebut diubah suai dalam tempoh perkahwinan dan bekas isteri Encik telah membuat sumbangan kewangan, maka bekas isteri tersebut mempunyai hak harta sepencarian terhadap rumah tersebut.
Saya telah bernikah di luar negara dan tidak pernah sahkan atau daftarkan perkahwinan saya di Malaysia. Adakah saya masih boleh menuntut Harta Sepencarian sekiranya berlaku kematian atau perceraian dengan suami?
Tidak boleh. Puan hendaklah mengesahkan perkahwinan di Mahkamah Syariah dan mendaftarkannya di Pejabat Agama Islam sebelum Puan boleh membuat tuntutan Harta Sepencarian.
MUTA'AH
Saya dan suami telah bercerai disebabkan suami saya curang . Bolehkah saya minta pampasan terhadap bekas suami saya?
Sebenarnya tiada istilah pampasan selepas perceraian. Walaubagaimanapun dalam situasi ini, Puan memohon Muta'ah kepada bekas suami bagi mendapatkan sejumlah sagu hati bagi meneruskan kehidupan.
Apa yang dimaksudkan dengan Muta'ah?
Mut‘ah ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang munasabah dan perceraian tersebut bukan berpunca dari isteri.
Berapa jumlah Muta'ah yang boleh saya tuntut daripada bekas suami?
Tiada formula spesifik dalam pengiraan jumlah tuntutan Mut’ah, namun terdapat beberapa faktor yang boleh diambil kira dalam menentukan kadar Mut’ah yang sewajarnya iaitu:
Kemampuan suami.
Tempoh perkahwinan.
Taraf hidup pasangan semasa perkahwinan.
Sumbangan/Pengorbanan isteri.
Taraf kedudukan dan sifat isteri.
WASIAT, FARAID & HIBAH
Apakah perbezaan di antara wasiat, hibah dan faraid?
Wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya untuk diuruskan selepas berlaku kematiannya. Tetapi wasiat yang dibuat secara lisan adalah terdedah kepada fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh dipertikaikan di kalangan ahli waris.
Faraid dari segi bahasa bermaksud ketetapan. Menurut istilah syarak pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah atau layak (seperti anak, suami, isteri, ibu, bapa dan lain-lain). Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris sama ada berbentuk agama (seperti zakat, nazar dan lain-lain) atau hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.
Hibah ialah anugerah, pemberian atau hadiah yang melibatkan suatu akad yang mengandungi pemberiaan hak milik oleh pemberi harta kepada seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan tanpa mengaharapkan balasan atau tukaran.
Saya ingin membuat wasiat. Bolehkan saya mewasiatkan harta-harta saya kepada anak angkat saya?
Tuan boleh untuk melaksanakan wasiat kepada anak angkat Tuan yang bukan merupakan waris Tuan. Bagaimanapun, wasiat kepada bukan waris tersebut tidak boleh melebihi dari 1/3 keseluruhan nilai harta. Tuan juga boleh mewasiatkan harta-harta tuan kepada anak-anak tuan yang juga merupakan ahli waris. Bagaimanapun, ianya bergantung kepada persetujuan waris. Wasiat kepada bukan waris melebihi 1/3 dari nilai harta juga boleh dilaksanakan sekiranya ia mendapat persetujuan waris. Harus diingat, persetujuan yang dibuat oleh waris hendaklah diperolehi selepas kematian pewasiat kerana hak tersebut hanya muncul selepas kematian pewasiat.