KENYATAAN RASMI MPP
AHAD | 2 NOVEMBER 2024
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah entiti yang memainkan peranan penting dalam membina jambatan antara pihak pengurusan universiti dan komuniti pelajar, serta berfungsi sebagai platform utama untuk memperjuangkan kebajikan pelajar dan meluahkan aspirasi mahasiswa. Pembubaran tahunan MPP merupakan prosedur rasmi yang bertujuan memastikan kesinambungan dalam kepimpinan pelajar serta pemupukan amalan demokrasi di kampus, sekali gus menyumbang kepada pembentukan generasi pemimpin yang berintegriti dan berwibawa.
Selaras dengan pindaan terkini Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memperkenalkan penyelarasan tarikh pembubaran MPP di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam. Penyelarasan ini bertujuan menyeragamkan proses pemilihan kepimpinan pelajar dan mengukuhkan budaya demokrasi di kampus, di samping mendorong penyertaan pelajar dalam kepimpinan universiti. Merujuk kepada peruntukan Bahagian IV(A), Seksyen 23E (1) dan (2), Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) dan berdasarkan surat rasmi Naib Canselor bertarikh 24 Oktober 2024 (Nombor Rujukan: 100-HEP (PT .35/5/2)), dimaklumkan bahawa tarikh rasmi pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Sesi 2023/2024 adalah pada 28 Oktober 2024 (Isnin). Sehubungan itu, meskipun MPP secara rasmi dibubarkan, ahli-ahli MPP akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai Pemegang Jawatan Sementara (Interim) atau caretaker sehingga proses pelantikan kepimpinan baharu selesai dilaksanakan.
Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Melaka Sesi 2023/2024 merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada seluruh warga universiti, pihak pengurusan, dan semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan sepanjang tempoh perkhidmatan kami.
Sekian, terima kasih.
“MAHASISWA PROAKTIF PENCETUS GENERASI BERRESTIJ”
Yang menjalankan amanah,
Jawatankuasa Caretaker
Majlis Perwakilan Pelajar
UiTM Cawangan Melaka
Sesi 2023/2024
BULETIN MPP
KAD LAPORAN MPP
ISNIN | 21 OKTOBER 2024
Assalamualaikum w.b.t.,
Salam Sejahtera,
Salam UiTM di hatiku. 🎓
Merujuk perkara di atas, berikut merupakan program serta 100 inisiatif yang telah disediakan oleh Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Melaka Sesi 2023/2024 sepanjang tempoh pelantikan. Para mahasiswa diminta untuk mengimbas kod QR tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Kami menggalakkan semua mahasiswa untuk proaktif dalam mengakses maklumat yang disediakan. Dengan menyertai program dan inisiatif ini, mahasiswa dapat memperkukuh penglibatan dan menyumbang kepada pembangunan diri serta komuniti.
Sekian, terima kasih.
"MAHASISWA PROAKTIF, PENCETUS GENERASI BERPRESTIJ”
Yang menjalankan amanah,
Majlis Perwakilan Pelajar
UiTM Cawangan Melaka
Sesi 2023/2024