PERUTUSAN MUFTI
KEPADA PENERIMA TAULIAH MENGAJAR AGAMA ISLAM
NEGERI KEDAH TAHUN 2024M / 1446H
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
SOHIBUS SAMAHAH DATO’ PADUKA (DR.) SYEIKH FADZIL
BIN HJ AWANG
DPSS., DSDK., AMK., BCK.
Mufti Negeri Kedah Darul Aman
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Alhamdulillah, kita panjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, kita masih dipanjangkan umur dan sihat wal afiat. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para calon yang telah berjaya lulus peperiksaan dan akan menerima Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Kedah.
Majlis Penganugerahan Tauliah diadakan bukan hanya sekadar simbol kejayaan akademik, tetapi juga satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh para pendakwah. Sebagai individu yang telah dilatih dan diberi tauliah, para asatizah diharapkan dapat menyumbang kepada masyarakat, agama, dan negara dengan penuh dedikasi dan integriti berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dalam konteks ini, marilah kita ingat bahawa ilmu yang kita peroleh bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk manfaat orang lain. Jadilah agen perubahan yang positif, dan teruskan usaha untuk menambah ilmu dan kemahiran.
Saya juga ingin mengingatkan para pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Kedah agar sentiasa memelihara akhlak dan nilai-nilai murni dalam setiap tindakan. Sesungguhnya, akhlak yang baik adalah cerminan ilmu yang bermanfaat.
Semoga Allah SWT memberi hidayah dan petunjuk kepada kita semua untuk terus berusaha ke arah kebaikan. Sekali lagi, tahniah kepada semua asatizah. Semoga kejayaan ini menjadi batu loncatan untuk mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan, Inshaa Allah.