LEMBAGA KEPIMPINAN PENGAWAS DATUK HAJI AHMAD BADAWI
Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan di negara kita menjadi wahana utama untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Sehubungan dengan itu, sekolah sebagai institusi pendidikan formal berperanan untuk mencapai matlamat tersebut. Selaras dengan itu, pentadbir sekolah memainkan peranan penting untuk membentuk sahsiah murid dengan dibantu oleh guru-guru dan jawatankuasa pengawas sekolah.
Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa pengawas sekolah ialah jawatankuasa yang penting dan bertanggungjawab membantu guru memastikan sahsiah murid mantap dan suasana sekolah berada dalam keadaan terkawal. Mengikut Surat Pekeliling lkhtisas Bil.9/1975:
" ... Pengawas-pengawas sekolah/ketua-ketua murid (School Prefects) mestilah
faham benar-benar akan tugas dan tanggungjawab mereka ... Mereka juga hendaklah
memahami bahawa pelantikan mereka itu bertujuan membantu pihak yang berkuasa
sekolah dalam memelihara tatatertib."
Fungsi utama Lembaga Kepimpinan Pengawas adalah untuk melindungi dan melaksanakan peraturan-peraturan sekolah, menjadi teladan yang baik kepada para pelajar serta bertindak sebagai pengantaraan pihak sekolah dan para pelajar. Tugas-tugas khas yang diamanahkan oleh pihak sekolah dari semasa ke semasa adalah seperti: mempengerusikan perhimpunan mingguan sekolah dan juga mengadakan kempen-kempen khas untuk meningkatkan disiplin pelajar.
Cara pentadbiran adalah seperti berikut. Tuan Pengetua dan Guru Penasihat Lembaga Kepimpinan Pengawas turut dilantik menjadi penasihat. Mesyuarat Agung akan diadakan untuk melantik sebuah jawatankuasa untuk menguruskan kerja-kerja dan aktiviti-aktiviti sekolah dan aktiviti-aktiviti Lembaga Pengawas. Jawatankuasa akan menjalankan tugas harian atas nasihat-nasihat penasihat.
Oleh itu, LKP DHAB ditubuhkan bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan efisien. Sebagai pemimpin murid, adalah wajar pengawas sekolah menunjukkan keterampilan dan sahsiah yang positif agar dapat dijadikan teladan kepada murid-murid lain