Tentera Laut Diraja Malaysia bermula dengan sebuah pasukan simpanan
iaitu Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR) yang telah ditubuhkan oleh kerajaan kolonial British di Tanah Melayu pada 27 April 1934 di Singapura. SSNVR ditubuhkan untuk membantu Tentera Laut Diraja British atau Royal Navy mempertahankan kawasan perairan Tanah Melayu ekoran perkembangan dan pergolakan politik di Asia, di mana Empayar Jepun sedang meluaskan kuasa dan pengaruhnya.
Apabila Perang Dunia ke-2 meletus di Eropah, SSNVR telah
meningkatkan jumlah rekrut atau pelatih baru demi mengukuhkan pertahanan
Tanah Melayu, memandangkan aset-aset Royal Navy diperlukan di medan
operasi Eropah. SSNVR juga telah dikerahkan untuk menjadi satu perkhidmatan yang aktif, iaitu sebagai unit Royal Navy Malay Section, ataupun Malay Navy dengan kekuatan seramai 400 orang anggota dan meningkat kepada 1650 anggota. Sepanjang Perang Dunia ke-2, Malay Navy berkhidmat di bawah Tentera Bersekutu atau lebih tepat lagi di bawah panji-panji Royal British Navy. Malay Navy berkhidmat bersama Royal Navy di medan operasi di Lautan Hindi dan Pasifik. Selepas kekalahan Jepun pada tahun 1945, hanya 600 orang anggota melapor diri semula.Pada tahun 1947, Malay Navy terpaksa dibubarkan akibat kemelesetan ekonomi.
Pada 24 Disember 1948, Darurat diisytiharkan di Tanah Melayu akibat
ancaman pengganas komunis. Menyedari kepentingannya, pihak British
mengaktifkan semula Malay Navy dan dikenali sebagai Malayan Naval Forces (MNF). Tarikh 4 Mac 1949 menyaksikan hari perasmian dan penubuhan MNF yang berpangkalan di HMS Malaya,Woodlands, Singapura. Misi utama MNF ialah mengawasi pesisir pantai bagi menghalang pengganas komunis daripada memperoleh bantuan bekalan melalui jalan laut. Angkatan ini juga diberi tugas mengawal laluan ke Singapura dan pelabuhan-pelabuhan lain. Pada 29 Ogos 1952, Her Royal Majesty Queen Elizabeth (Ratu Elizabeth 2) telah mengurniakan gelaran ‘Diraja’ kepada MNF, menjadikan MNF kini dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaya (Royal Malayan Navy), di atas perkhidmatan MNF yang cemerlang.
Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 telah menamatkan
penjajahan British dan sekaligus kuasa mutlak berpindah sepenuhnya kepada
pemimpin negara. Royal Malayan Navy akhirnya diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1958.Penaikkan bendera Tentera Laut Persekutuan secara rasminya menandakan Royal Malayan Navy memikul tanggungjawab untuk mempertahankan perairan persekutuan. Pada 16 September 1963, TLDM dinamakan sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia setelah pembentukan Malaysia dan akronim ‘HMS’ (Her Majesty’s Ship) telah ditukar ke ‘KD’ bermaksud Kapal Diraja. Apabila TLDM diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Malaysia pada 1 Jul 1958, ia mula berkembang dengan penuh pesat dan cemerlang.
*Buku Nota Asas Kadet, (2000), (p 2 - 3)
Pada 15 September 2000, PALAPES UM mencatatkan satu lagi sejarah dengan penubuhan PALAPES UM (Laut). Penubuhan tersebut adalah bersempena dengan pemakaian pangkat oleh Kepten Kehormat TLDM kepada Naib Canselor Universiti Malaya pada masa itu iaitu Yang Berbahagia Profesor Dato' Dr. Anuar Zaini Md. Zain.Sehingga April 2013, seramai 6 orang pegawai
yang telah silih berganti menjawat jawatan sebagai pegawai koordinasi PALAPES Laut UM.
Kept (K) Prof. Dato’ Dr. Anuar Zaini Bin Md Zain PSSTLDM KOMANDAN KELIMA
(9 Mac 2000-31 Mac 2003)
Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau singkatannya PALAPES Laut merupakan satu pertubuhan yang ditubuhkan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dibawah naungan unit simpanan TLDM. Universiti Malaya merupakan universiti ke-5 yang menubuhkan PALAPES Laut. Pentadbiran PALAPES UM
(L) terdiri daripada anggota tetap TLDM dan anggota Pasukan Simpanan SukarelaTentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) unit KD SRI KLANG.Bahagian simpanan TLDM menempatkan seorang pegawai berpangkat komander di KD SRI KLANG yang menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah (CO).Beliau dibantu oleh pegawai simpanan dan anggota tetap TLDM sebagai jurulatih. Seorang Pegawai Koordinasi telah dipertanggungjawabkan untuk membantu pentadbiran PALAPES di IPTA yang mendaftar unit di KD SRI KLANG.Kini PALAPES Laut UM semakin bertambah sehingga pengambilan ke- 15 pada tahun 2014.
Antara aktiviti yang dijalankan oleh PALAPES Laut UM adalah Istiadat Perbarisan Kawad Konvokesyen yang diadakan pada setiap tahun. Selain itu aktiviti fizikal seperti mendaki gunung, berakit, berkayak dan menembak turut menjadi agenda wajib yang disediakan untuk pegawai kadet PALAPES Laut UM. Walaupun kekurangan kemudahan tempat pembelajaran, kelas teori masih
dijalankan bagi meningkatkan ilmu kelautan dan pelayaran. Bermula pada tahun 2008, pegawai kadet yang menunjukkan prestasi yang terbaik akan terpilih mewakili PALAPES UM ke delegasi luar negara. Setelah sedekad berlalu, sehingga tahun 2014 genap 12 ambilan pegawai kadet PALAPES Laut UM telah ditauliahkan. Sehingga kini dianggarkan seramai 286 orang pegawai kadet PALAPES Laut UM telah bergelar sebagai Leftenan Muda.
*Buku Nota Asas Kadet, (2000), (p 4 - 5)