Penolong Pegawai Perubatan (PPP) merupakan salah satu profesion yang bertanggungjawab di dalam memberikan perkhidmatan kesihatan di Malaysia dalam bidang promotif, preventif, kuratif, rehabilitatif dan paliatif sejak 230 tahun yang lalu dan profesion ini berkembang dari masa ke semasa. Penolong Pegawai Perubatan (PPP) didaftarkan di bawah Akta 180, Akta Pembantu Perubatan (Pendaftaran) 1977 dan diselia oleh Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan (CPPPP), Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Selari dengan perkembangan perkhidmatan perubatan, CPPPP telah merangka pelan jangka panjang bagi perkembangan dan kemajuan profesion PPP. Pada 10 Mac 2018, pelancaran Pelan Pembangunan Profesion Penolong Pegawai Perubatan (6P) yang telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Bin Abdullah sempena sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Kebangsaan kali ke-7.
Pelan ini mengandungi 6 teras iaitu:
1. Pembangunan pendidikan
2. Pengukuhan struktur organisasi
3. Pemantapan peranan PPP
4. Kemajuan kerjaya
5. Pembangunan sumber manusia
6. Pengukuhan kolaborasi antarabangsa
Sehubungan itu, program Assistant Medical Officer Technical Expert (AMOTeX) ini merupakan komponen yang terdapat di dalam teras ke 4, dalam Pelan Pembangunan Profesion Penolong Pegawai Perubatan (6P), dimana ia memberi fokus kepada PPP yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam bidang klinikal (niche area).
Pelaksanaan program AMOTeX adalah merujuk kepada keputusan Mesyuarat Lembaga Pembantu Perubatan Bil. 67, bertarikh 5 November 2018 telah bersetuju untuk membangunkan satu bentuk pendaftaran bagi ahli profesion PPP yang memiliki kemahiran tinggi di dalam bidang pengkhususan.
Garis panduan ini dapat digunakan sebagai sumber rujukan kepada semua anggota kesihatan yang terlibat dengan program AMOTeX untuk memastikan pelaksanaan program ini lebih berkesan.