Sekolah Kebangsaan Pelak dahulunya dikenali sebagai sekolah melayu. Telah dibina pada Ogos 1950 dengan kerjasama dan rasa tanggungjawab penduduk Kampung Pelak dan penduduk kampung sekitarnya. Di samping itu tidak dilupakan juga sokongan padu Penghulu Mukim Lepar ketika itu, Tok Muda Mohd. Tahar bin Abdullah. Namun pada bulan November 1951 bangsal yang dijadikan sekolah telah roboh dipukul ribut. Sekali lagi penduduk kampung bergotong - royong untuk medirikan bangunan baru di tapak lama berukuran 50x25 kaki, beratapkan zink dan separuh dinding dan sempurna disiapkan pada tahun 1952.
Sebagai permulaan seramai 30 orang murid lelaki dan perempuan telah mendaftar untuk bersekolah di sekolah ini. Untuk mengatasi masalah tenaga pengajarnya maka Ketua Kampung ketika itu dengan persetujuan penduduk kampung telah melantik Encik Zainal Abidin @ Bidin bin Bakar sebagai guru pertama di Sekolah Kebangsaan Pelak. Beliau di panggil guru sekolah rakyat kerana gaji beliau ketika itu di bayar oleh ibu bapa yang ada anak-anaknya bersekolah di sekolah ini. Oleh kerana beliau seorang sahaja guru ketika itu, maka beliau terpaksa mendapat tunjuk ajar dan nasihat dari Guru Besar juga guru-guru dari Sekolah yang berdekatan dalam aspek menyediakan persediaaan rekod mengajar dan menyediakan Jadual Waktu.
Bilangan murid yang bertambah menyebabkan guru juga bertambah, maka pada Januari 1959, En.Junid bin Chik dilantik menjadi guru besar pertama sehingga Disember 1966. Pada tahun 1969 kerajaan telah menyediakan peruntukan untuk membina bangunan sekolah yang lebih baik sebesar 100x30 kaki yang mengandungi tiga bilik darjah dan satu ruang pejabat. Bangunan ini masih kekal digunakan hingga hari ini dan ditambah dengan satu bangunan baru yang menempatkan 4 kelas satu ruang pejabat dan satu bilik guru.
> Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.
> Melestarikan Sistem Pendidikan yang Berkualiti untuk membangunkan Potensi Individu bagi Memenuhi Aspirasi Negara.
SEKOLAH KEBANGSAAN PELAK
NEGERI PAHNAG DARUL MAKMUR
MENUJU KE ARAH SATU TEKAD
MENCAPAI KEJAYAAN
BIAR BERIBU RINTANGAN
AKAN TERUS KAMI TEMPUHI
BERSAMA MEMUPUK KESEDARAN
BERBAKTI PADA NEGARA
SEMAI CITA - CITA
MENJADI INSAN BERGUNA
BERHEMAH TINGGI AKHLAK MULIA
HARAPAN BANGSA NEGARA