PROGRAM-PROGRAM YANG DITAWARKAN
Kolej Vokasional Sandakan 2 ini akan menawarkan program dalam bidang hospitaliti iaitu program Pengurusan Pelancongan, Bakeri dan Pastri, Seni Kulinari dan Kosmetologi. Program Pengurusan Pelancongan yang sedia ada ditawarkan di Kolej Vokasional Sandakan akan berpindah ke sini bagi mewujudkan penawaran program yang berfokus dan membina kekuatan tersendiri berdasarkan bidang yang ditawarkan.
Penawaran program dalam bidang hospitaliti di Kolej Vokasional Sandakan 2 ini merupakan pelengkap kepada program teknologi sedia ada yang telah ditawarkan di Kolej Vokasional Sandakan. Justeru itu, akses pendidikan TVET dalam bidang teknologi dan hospitaliti ini merupakan satu kelebihan kepada masyarakat Sabah khususnya komuniti di Sandakan bagi menceburkan diri dalam bidang kemahiran.
Pemilihan penawaran program bidang hospitaliti di Kolej Vokasional Sandakan 2 ini adalah bertepatan dan relevan dengan keperluan industri dan permintaan komuniti setempat. Untuk rekod, permohonan (supply) kemasukan bidang hospitaliti adalah melebihi daripada kapasiti Kolej Vokasional setiap tahun. Sebagai contoh, pada tahun 2022, permohonan kemasukan adalah sebanyak 429 berbanding hanya 240 kapasiti yang mampu ditampung oleh Kolej Vokasional di negeri Sabah yang menawarkan program bidang hospitaliti.
Program ini mendedahkan pelajar kepada operasi dan penyelenggaraan dapur, penyediaan makanan dan restoran, penyediaan pencuci mulut, masakan Timur dan Barat, kuih tempatan, roti, pastri dan manisan, seni makanan, penyediaan makanan halal dan pengurusan makanan.
Program ini menawarkan pelajar berkaitan penghasilan dan penyediaan roti, kek, manisan. Coklat, pastri, pencuci mulut, donut, pau, pizza, membuat dan menghasilkan resepi baru dan istimewa serta pengurusan kos dan perniagaan dalam bidang ini.
Program ini menyediakan pelajar dalam industri pelancongan di mana pendedahan dalam bidang pengurusan acara, pengoperasian agensi pelancongan dan penguasaan dalam komunikasi bahasa asing serta kemahiran dalam pemasaran dan jualan.
Program ini mendedahkan pelajar kepada penjagaan dan rawatan wajah dan anggota badan, penggayaan rambut, seni make-up, refleksologi serta amalan kesihatan dan kebersihan, pengurusan dan pengoperasian salon.
Bidang vokasional memberikan peluang kepada pelajar yang berpencapaian baik atau sederhana dalam akademik dan berminat kepada pembelajaran bercorak vokasional (berkaitan pekerjaan). Isi kandungan bidang vokasional mempunyai komponen teori dan praktikal yang seimbang. Objektif aliran ini adalah untuk membantu melahirkan separa profesional (juruteknik/pembantu teknik) dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan. Setelah tamat pengajian, murid berpeluang ke IPTA, IPTS, dan institut latihan kemahiran awam dan swasta, atau terus ke alam pekerjaan.
Program ini merangkumi dua (2) tahun pengajian di peringkat Sijil.
Murid yang berjaya di peringkat Sijil akan dianugerahkan Sijil Vokasional Malaysia (SVM)
Murid yang dianugerahkan SVM dan melepasi syarat kemasukan layak menyambung pengajian di peringkat Diploma di Kolej Vokasional yang sama
Murid yang tidak melepasi syarat kemasukan ke peringkat Diploma akan menyambung pengajian di Kolej Vokasional yang sama dalam bidang kemahiran dan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berdasarkan tahap kompetensi yang dicapai
Murid yang lulus pengajian di peringkat Diploma akan dianugerahkan Diploma oleh Senat Kolej Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia
Matlamat Program Kolej Vokasional untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir dan kompeten bagi memenuhi keperluan industri dan entrepreneur
Permintaan (demand) pekerjaan daripada industri khususnya dalam bidang hospitaliti adalah tinggi setiap tahun. Berdasarkan Laporan Kebolehpasaran Graduan Kolej Vokasional Tahun 2021 melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan TVET (SKPG), kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional secara keseluruhannya adalah 99.15%. Peratus kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional yang bekerja di dalam bidang pula adalah 71.79%. Program dalam bidang hospitaliti adalah antara bidang yang mencatat kebolehpasaran graduan bekerja dalam bidang yang tertinggi iaitu program Seni Kulinari 81.47%, program Bakeri dan Pastri 79.36% dan program Kosmetologi 72.67%. Ini menunjukkan bahawa terdapat rantaian keperluan yang memberangsangkan di antara permohonan dan permintaan (supply and demand) bagi program-program di dalam bidang hospitaliti.