KIT LINE DANCE

(Penyelesaian Langkah Lurus dalam Pergerakan Berirama)

PENGENALAN

Dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani, terdapat beberapa kemahiran atau pergerakan yang sukar untuk dilakukan oleh murid khususnya murid tahap satu. Bagi menyelesaikan masalah ini, inovasi Kit Line Dance dijana bagi memudahkan murid mengenal pasti langkah-langkah lurus. Secara amnya, Inovasi Kit Line Dance ini merupakan satu usaha membantu guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) untuk menterjemahkan teknik-teknik pengajaran langkah lurus secara konkrit melalui penggunaan kit inovasi ini.

Kajian rintis yang dijalankan di tiga buah sekolah rendah menunjukkan kelemahan murid tahap satu dalam menguasai pergerakan berirama berkaitan langkah lurus iaitu Grapevine, Step-close, Schottische, dan Polka. Pendekatan Kit Line Dance ini merupakan satu solusi kepada kesilapan langkah yang sering berlaku semasa proses PdPc berlangsung. Dengan kehadiran kit ini, murid dapat mengesan kesalahan yang dilakukannya dengan lebih terperinci. Meskipun tanpa teguran guru, murid dapat menyedari kesilapan langkah itu, lalu membetulkannya dengan panduan yang disediakan pada papan kit. Hal ini menjadikan Kit Line Dance amatlah relevan untuk digunakan sebagai asas dalam DSKP ataupun digunakan oleh ibu bapa untuk melatih pergerakan berirama anak-anak mereka seawal usia tujuh tahun di samping kos yang amat berpatutan.

Di samping itu, kit ini juga telah menggunakan teknik penggabungjalinan dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan. Dimana, empat kemahiran tarian lurus yang diajar, dizahirkan dalam bentuk sebuah papan permainan yang memuatkan langkah-langkah dengan lakaran tapak kaki kanan dan kiri diikuti tempo muzik. Penggunaan warna turut diimplementasikan bagi membezakan kedudukan setiap tapak kaki kanan dan kiri. Kit ini bukan sahaja boleh digunakan semasa peringkat ansur maju, malahan guru juga boleh menggunakannya semasa permainan kecil dalam PdPc. Variasi melalui inovasi inI ternyata mampu meningkatkan pencapaian murid dalam aktiviti senamrobik mahupun tarian pada suatu hari nanti.

Kesimpulannya, setelah menguasai keempat-empat jenis langkah lurus ini, murid itu dikira sudahpun menguasai ilmu pergerakan berirama yang dikehendaki dalam DSKP. Ringkasnya, pendekatan Kit Line Dance akan memberi tahap kepuasan kepada para guru yang mengajar dan memberikan penguasaan kepada murid tersebut. Ayuh belajarlah langkah lurus melalui Kit Line Dance, pasti anda berjaya dalam pergerakan berirama.