Sepanjang hayat Tunku, beliau telah menunjukkan kehebatan sebagai pemimpin yang berwibawa dalam pelbagai bidang. Beliau juga seorang pejuang yang berjiwa kental dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah yang ingin menakluk Malaysia yang juga merupakan Tanah Melayu pada masa itu. Penglibatan beliau dalam menentang Malayan Union, mengemudi kepimpinan UMNO melalui perubahan slogan dari Hidup Melayu Kepada Merdeka dan juga mengatur strategi pakatan antara kaum dengan kerjasama pihak Majlis Raja-Raja Melayu telah membuktikan kepimpinan Tunku berjaya mencapai kemerdekaan secara aman melalui meja rundingan.
Ibarat peribahas Melayu, "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama". Begitulah ungkapan yang paling bererti untuk mengenang jasa dan sumbangan negarawan ulung Tunku Abdul Rahman Putra. Liku, cabaran, perit jerih terbayar dek nikmat kemerdekaan yang diwarisi sehingga kini dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu merasa terhutang budi kepada Tunku dan juga merupakan Bapa Kemerdekaan Malaysia.
 Ketokohan, pengorbanan dan jasa Tun Sir Henry H.S. Lee dalam mencapai perpaduan kaum dan kemerdekaan negara amat terserlah dan perlu dikenang selama-lamanya. Beliau memainkan peranan yang penting dalam penubuhan MCA, perancang utama penubuhan perikatan UMNO-MCA, penentang komunis di zaman darurat dan merupakan pejuang negara semasa menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu merdeka, beliau telah dilantik sebagai Menteri Kewangan antara tahun 1957 hingga 1959. Tun H.S Lee bukan sahaja prihatin terhadap perkembangan politik di negara ini, malah semasa Jepun menyerang Tanah Besar China pada tahun 1937, beliau telah mengetuai usaha kutipan tabung bantuan kemanusiaan China dan bekerjasama dengan Parti Kuomintang China. Ketika menakluki Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua, beliau sekeluarga berpindah ke India dan bertemu dengan Chiang Kai Shek di Congging, China. Sebagai menghargai jasa dan penglibatannya dalam arena politik tempatan dan sumbangannya kepada masyarakat Cina, Chiang menganugerahkan beliau dengan gelaran "Kolonel" dan turut dihantar bertugas ke sempadan China-Burma sebagai perantara tentera China dan British. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan beliau telah menjadi salah satu kebanggaan negara.
Antanom telah menggerakkan pemberontakan Rundum menentang penjajah pada tahun 1915. Antanom atau Ontoros dilahirkan di kawasan "Masinpunon" sungai Salarom pada tahun 1885 dan berumur dalam lingkungan 30 tahun ketika pemberontakan itu dilancarkan. Antanom adalah anak keturunan Suku Murut Tagol dari golongan bermartabat mengikut adat istiadat kaum murut. Dia dibesarkan dalam zaman daerah kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali dengan istilah " Pengayau ". Antanom dikagumi bukan saja kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang Kompeni Inggeris, tetapi lebih kepada kewibawaannya menyatupadukan kaumnya yang ketika itu sedang dilanda sengketa dan perpecahan. Inggeris sendiri mengakui keistimewaan Antanom mendamai dan menyatupadukan suku-suku Murut yang bermusuhan itu. Didikan yang diterima beliau ialah mengenal kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang kalawon.